Foto Instagram Jinggo.

KUALA LUMPUR – Pengarah drama, Jinggo menegur produksi yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan mengambil pelakon belum lengkap vaksinasi Covid-19.

Jinggo atau nama sebenarnya Azman Yahya turut menggesa Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mengambil tindakan sewajarnya terhadap produksi terbabit bagi mengelakkan kelonggaran diberikan kerajaan untuk penggambaran ditarik balik.

“Jangan pasei (pasal) korang (kamu), kami pula tak boleh jalankan penggambaran.

“Finas, tolong tangkap produksi tak ikut SOP, sebelum kemudahan kita ditarik balik. Boleh korang menganjing ye? Tak perlu ambil vaksin, ada saja produksi panggil (berlakon).

“Jika korang lepas tak apa, kalau tak lepas, bukan korang saja sangkut, JS Pictures dah nak mula penggambaran tahu tak?” tulisnya di Instagram miliknya,

Semalam, pelakon veteran, Fauziah Nawi turut meluahkan perasaan tidak puas hati terhadap isu sama didakwa membabitkan penerbit dan pengurus produksi (PM) yang mengambil pelakon belum lengkap vaksinasi untuk memulakan penggambaran.

Katanya, luahan itu dibuat bukan disebabkan cemburu atas rezeki orang lain sebaliknya kerana dia bimbang kelonggaran SOP penggambaran diberikan kerajaan ditarik semula.

Bahkan Fauziah, 68, menyifatkan tindakan pelakon itu sebagai menyusahkan penggiat seni yang lama berharap untuk meneruskan kelangsungan hidup selepas beberapa bulan tidak dibenarkan terbabit aktiviti penggambaran.

Kelamrin, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kelonggaran aktiviti hiburan hanya untuk individu divaksin sepenuhnya di semua negeri bermula esok termasuk persembahan seni, pawagam, penggambaran dalam dan luar studio.

Keputusan itu dibuat sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk merangsang semula kegiatan ekonomi industri kreatif dan kesenian yang terjejas teruk ekoran pengekangan wabak. – MalaysiaGazette