KUALA LUMPUR – Pemulihan industri halal di Malaysia menjadi ciri utama dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) kerana industri itu penting kepada ketahanan ekonomi negara yang majoritinya adalah muslim.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kepentingan industri itu dibantu Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) yang merupakan gabungan teknologi utama yang menjadi pemangkin dalam meningkatkan produktiviti dan kecekapan.
Jelas beliau, ia melibatkan pembelajaran mesin, pengkomputeran awan dan Internet of Things (IoT) termasuk blockchain dan fintech telah banyak mengubah cara menjalankan aktiviti perniagaan.
“Untuk tujuan ini, Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) yang ditugaskan untuk menerajui pembangunan Industri Halal Nasional telah membangunkan kerangka kerja di bawah Pelan Induk Industri Halal 2030 untuk pengembangan industri halal negara untuk 10 tahun berikuutnya.
“Antaranya, Platform Bersepadu Halal (HIP) untuk membantu pengusaha meneroka peluang perniagaan baharu yang berpotensi untuk mendapatkan akses pasaran domestik dan antarabangsa.
“Platform ini akan bertindak sebagai jambatan antara pengusaha dan pihak berkepentingan industri yang menyatukan mereka di bawah satu ekosistem halal.
“Tumpuan akan diberikan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana yang akan dapat mengakses program, perkhidmatan dan kemudahan yang bertujuan membantu mereka menjadi peserta aktif dalam ekosistem halal,” katanya.
Beliau berkata demikian pada ucaptama Persidangan Perniagaan Halal Sedunia 2021 (WHBC 2021) anjuran HDC secara maya di hari ini.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri menambah, PPN memberi tumpuan kepada empat fasa yang bertujuan untuk membuka semula ekonomi pada akhir tahun ini.
Namun jelas beliau, masyarakat perlu memahami pelan itu adalah rancangan dinamik yang akan diperbaharui dan diperbaiki yang sesuai dengan keperluan berdasarkan data terbaharu dan bukti ilmiah yang tersedia mengenai strategi dan pendekatan yang berjaya.
“Malaysia secara beransur-ansur keluar dan pulih daripada wabak Covid-19 yang telah memberi kesan buruk kepada masyarakat secara umumnya.
“Kerajaan miliki komitmen untuk melaksanakan PPN di bawah semangat Keluarga Malaysia yang mewakili kebersamaan, inklusif, komprehensif dan dinamik.
“Rancangan ini difokuskan pada penyelesaian segera terhadap cabaran yang dihadapi oleh rakyat dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana dengan tujuan jangka pertengahan hingga jangka panjang yang berkaitan dengan kelestarian sosioekonomi.
“Insya-Allah, kita secara beransur-ansur akan membuka semula ekonomi secara selamat dan tersusun,” katanya. – MalaysiaGazette
















