KUALA LUMPUR – Bilangan penganggur meningkat sedikit kepada 778,200 orang dengan kadar pengangguran bulan Julai kekal pada 4.8 peratus.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, bulan Julai 2021 menyaksikan bilangan guna tenaga terus menurun namun pada kadar yang perlahan manakala pengangguran merekodkan sedikit peningkatan.

Pada awal bulan tersebut, seluruh negara beralih ke Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) mengambil kira faktor peningkatan berterusan jumlah kes baharu Covid-19 dan kadar vaksinasi yang semakin tinggi.

Kemudiannya, secara berperingkat sebanyak lapan negeri telah beralih ke Fasa 2 PPN dengan pelonggaran sekatan yang membenarkan lebih banyak aktiviti ekonomi beroperasi dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP).

Hal ini telah membawa kepada beberapa kesan positif terhadap ekonomi dan seterusnya kepada kedudukan tenaga buruh di negeri-negeri tersebut.

Bagaimanapun, lapan buah negeri dengan liputan sekitar 52 peratus tenaga buruh di Malaysia masih kekal berada dalam Fasa 1 PPN.

Bagi Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pula, sebahagian besar daerah dan lokaliti di kedua-dua negeri ini berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Diperketatkan pada 3 hingga 16 Julai 2021 yang menyebabkan aktiviti ekonomi dan perkhidmatan tidak penting telah dihentikan seketika.

Justeru, penurunan bulan ke bulan yang lebih kecil iaitu sebanyak 0.02 peratus dalam bilangan penduduk bekerja dicatatkan pada Julai 2021 kepada 15.29 juta orang (Jun 2021: -0,5%; 15.30 juta orang) dengan nisbah guna tenaga kepada penduduk kekal pada 65.0 peratus.

Sebaliknya, bilangan penganggur meningkat sedikit sebanyak 1.2 peratus kepada 778, 200 orang (Jun 2021: 5.6%; 768,700 orang).

Kadar pengangguran pada bulan tersebut kekal pada 4.8 peratus berbanding bulan sebelumnya manakala perbandingan tahun ke tahun, menurun sebanyak 0.1 mata peratus (Julai 2020: 4.7%).

Justeru, bilangan tenaga buruh pada Julai 2021 meningkat sedikit 0.04 peratus (Jun 2021: -0.2%) merekodkan 16.07 juta orang setelah mencatatkan penurunan pada bulan-bulan sebelumnya.

Kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) pada bulan ini kekal pada 68.3 peratus.

Mengikut sektor ekonomi, semua sektor mencatatkan penurunan bulan ke bulan kecuali sektor perkhidmatan dengan perubahan positif yang kecil setelah merekodkan penurunan pada bulan sebelumnya.

Daripada segi taraf pekerjaan, kategori pekerja yang merupakan komposisi terbesar penduduk bekerja, menurun sebanyak 0.02 peratus kepada 11.87 juta orang pada Julai 2021.

Namun, kategori penduduk bekerja sendiri terus meningkat selama enam bulan berturut-turut dengan pertambahan bulan ke bulan sebanyak 0.3 peratus mencatatkan 2.50 juta orang pada Julai 2021.

Selaras dengan kebenaran lebih banyak sektor ekonomi dan perkhidmatan untuk beroperasi dengan pematuhan kepada SOP ketika Fasa 1 dan Fasa 2 PPN, bilangan penduduk bekerja yang tidak bekerja buat sementara waktu menurun sebanyak 3.1 peratus merekodkan 776, 300 orang pada Julai 2021 (Jun 2021: 801,100 orang) setelah mencatatkan peningkatan selama dua bulan berturut-turut.

Mengulas lanjut mengenai situasi pengangguran pada bulan tersebut, Ketua Perangkawan berkata, penganggur aktif atau mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan meningkat sebanyak 1.3 peratus kepada 651,300 orang
(Jun 2021: 642.9 ribu orang).

Golongan ini merangkumi 83.7 peratus daripada jumlah penganggur.

Kumpulan penganggur kurang dari tiga bulan meliputi 53.9 peratus daripada keseluruhan penganggur aktif, manakala 8.8 peratus lagi adalah terdiri daripada mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun.

Bagi penganggur tidak aktif yang percaya tiada pekerjaan yang tersedia, bilangannya meningkat sebanyak 0.8 peratus kepada 126,900 orang (Jun 2021: 6.4%; 125,,800 orang).

Mohd Uzir berkata, secara umumnya, pasaran buruh berhubung secara positif dengan prestasi ekonomi.

Oleh itu, pelaksanaan PPN telah memberikan sedikit fleksibiliti kepada aktiviti ekonomi dan perkhidmatan untuk kembali beroperasi selari dengan fasa PPN. – MalaysiaGazette