Nampaknya 3 Oktober bukanlah tarikh yang sesuai untuk buka sekolah
Mengapa?
Pra syarat utama untuk membuka kembali sekolah pada murid-murid tahun peperiksaan ialah mereka mestilah telah lengkap divaksinkan.
Data terkini menunjukkan murid-murid tahun peperiksaan masih belum divaksinkan. Hanya baru bermula semalam di Sarawak. Masih ada 500 ribu murid-murid tahun peperiksaan yang belum divaksinkan walaupun untuk dos pertama.
Biasanya selepas menerima dos pertama, mereka masih perlu menunggu 21 hari untuk menerima dos kedua. Selepas divaksinkan untuk dos kedua, keberkesanannya hanya selepas 14 hari (Pfizer).
Maksudnya semua proses ini memerlukan sekurang kurangnya 35 hari untuk lengkap sepenuhnya. Itulah yang kita tahu berkaitan maklumat proses vaksinisasi.
Proses melengkapkan aturan vaksinasi sahaja sudah mengambil masa 35 hari. Sedangkan pembukaan sekolah pada 3 Oktober hanya tinggal 22 hari sahaja lagi.
35 hari itu pun dengan andaian semua murid telah selesai divaksinkan dos pertama pada hari ini.
Jadi, tidak mungkin persekolahan boleh dibuka pada 3 Oktober 2021 jika vaksinasi lengkap menjadi pra syarat pembukaan semula sekolah.
Jika KPM bertegas mahu sekolah dibuka pada 3 Oktober nanti, maksudnya murid-murid tahun peperiksaan akan ke sekolah dalam keadaan mereka masih belum lengkap proses vaksinasi (hanya satu dos) atau langsung belum menerima vaksin.
Atas asas ini pun kita sudah ragu-ragu dengan tarikh pembukaan sekolah pada 3 Oktober nanti. Belum lagi melihat kepada kadar kes jangkitan baru yang sangat tinggi sekitar 17-20 ribu setiap hari sejak beberapa minggu yang lalu dan kes kematian melebihi 350 nyawa sehari. Ini pasti sangat membimbangkan ibubapa untuk membenarkan anak-anak mereka ke sekolah.
Pendekatan pembukaan sekolah mestilah berasaskan kemampuan peringkat sekolah. Lengkap vaksinasi murid-murid di sesebuah satu sekolah, maka bukalah sekolah berkenaan.
Sebab itu saya pernah mencadangkan supaya tarikh pembukaan sekolah sepatutnya ditentukan berdasarkan tarikh selesainya proses lengkap vaksinasi (dua dos). Bukan seperti sekarang, mulanya ditetapkan pada 1 September kemudian ubah kepada 3 Oktober.
Sepatutnya, ditetapkan jika hari ini selesai vaksinasi lengkap di sesebuah sekolah, maksudnya sekolah tersebut bolehlah dibuka 14 hari kemudian.
Kedua, vaksinasi harus dilaksanakan secara bersasar. Misalnya, kumpulan terawal yang menerima vaksin ialah murid-murid kelas peperiksaan (SPM, STPM DAN STAM) di pedalaman yang tidak ada kemudahan Internet dan peranti. Mereka ini sangat perlu ke sekolah untuk belajar.
Manakala, bagi murid-murid yang mempunyai peranti dan internet, mereka masih boleh teruskan PdPR buat sementara waktu sehingga selesai proses vaksinasi lengkap.
Kesihatan dan nyawa murid-murid mestilah menjadi keutamaan.
— Dr Anuar Ahmad pensyarah di Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti
Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia