PKPD di Ladang Sime Darby Bukit Puteri, Mukim Batu Yon 1, Lipis, Pahang akan dilanjutkan bermula Sabtu ini sehingga 3 Disember depan.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Lima lokaliti di Sabah dan satu di Pahang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Sabtu ini sehingga 24 September.

Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md Saad berkata, lima lokaliti di Sabah membabitkan Kampung Lembah Permai dan Kampung Desa Aman di Ranau manakala Sekolah Henry Gurney di Keningau.

“Selain itu, ia melibatkan Taman Sungai Labuk di Beluran dan Kampung Timug, Matunggong di Kudat sementara di negeri Pahang membabitkan Kampung Kuala Koyan, Mukim Ulu Jelai di Lipis.

“Setelah meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan Covid-19, PKPD akan dilaksanakan di lokaliti-lokaliti tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rodzi berkata, PKPD di tujuh lokaliti di Paka, Dungun, Terengganu turut dilanjutkan bermula Sabtu sehingga 24 September membabitkan Bandar Paka, Gong Gemia, Cacar Baru, Limbong, Kuala Paka, Taman Indah Permai dan Telaga Mas.

Dalam pada itu, menurut beliau, tiga lokaliti yang dikenakan PKPD di Sabah akan ditamatkan esok pada pukul 11.59 malam seperti yang dijadualkan.

“Ia melibatkan Kampung Sungai Imam, Tawau; Kampung Kapakaan, Keningau dan Kampung Paris 3, Kinabatangan yang dikenakan PKPD sejak 28 Ogos lalu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast