Pelakon, Rita Rudaini.

KUALA LUMPUR – Pelakon Rita Rudaini mendedahkan terdapat rakan industri cuba memfitnahnya dengan mengatakan dia sedang menjalani penggambaran sedangkan belum mengambil vaksin.

Menerusi Insta Story di Instagram miliknya, ibu tunggal dua anak itu tidak melatah dengan fitnah tersebut.

Rita berkata, dia sedang bersenang lenang di rumah dan melakukan aktiviti seperti biasa serta berpesanan kepada individu tersebut supaya tidak risau dengan rezeki masing-masing.

“Ada rakan industri fitnah saya cakap tengah shooting. Saya tak ambil vaksin, kecoh ni dok menjaja. Alahai sabar lah wahai teman, jangan takut dengan rezeki awak.

“Rezeki awak dengan rezeki saya tak sama. Tuhan dah asingkan dah. Tak payah nak berebut wahai teman,” tulisnya.

Kata Rita lagi, dia tidak kisah jika tidak mendapat tawaran berlakon atau namanya digugurkan daripada mana-mana produksi disebabkan tidak mahu menerima vaksin kerana dia percaya dengan rezeki Tuhan.

“Saya percaya dengan rezeki yang tuhan tetapkan. 100 episod nama saya digugurkan pun saya okay sebab bagi saya Allah dah tulis macam tu. Jadi percayalah, apa yang dengki sangat dengan saya,” katanya.

Terdahulu, Rita lantang menjelaskan bahawa tidak semestinya seseorang itu tidak mahu divaksin bermakna dia adalah anti vaksin kerana itu adalah hak masing-masing. – MalaysiaGazette