Setiausaha Agong Persatuan Seniman Malaysia, Hafiz Nafiah ketika sidang media mengenai isu Filem 'Babi' arahan En. Wee Meng Chee atau Namewee di Balai Polis Taman Melawati, Kuala Lumpur. foto AFIQ HAMBALI, 11 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) melahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Komunikasi Dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa atas inisiatif memberi kelonggaran buat industri seni kreatif untuk kembali bernafas semula.

Setiausaha Agungnya, Mohd Hafiz Mohd Nafi menyeru agar semua penggiat seni tanah air mematuhi prosedur operas standard (SOP) baharu yang ditetapkan kerajaan.

“Seniman ingin merakamkan jutaan terima kasih kerana mendengar rintihan kami yang sekian lama terkesan dengan penutupan sektor ini.

“Seniman juga menyeru kepada lebih tujuh ribu ahli kami untuk terus mematuhi segala SOP yang ditetapkan sepanjang menjalankan sesi penggambaran atau apa jua aktiviti seni.

“Pematuhan ini penting bagi menggelakkan penyebaran wabak Covid-19 menular kepada semua krew serta artis yang terlibat dalam kerja-kerja seni yang dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Sehubungan itu, pihaknya juga mengambil tanggungjawab bersama pihak berkuasa bagi memastikan semua penggiat seni dapat mengikut SOP yang telah ditetapkan.

“Kami akan berkerjasama rapat dengan pihak berkuasa untuk pemantauan terhadap aktiviti seni yang dijalankan bagi menjamin keselamatan dan pematuhan SOP yang telah ditetapkan.

“Seniman percaya ahli-ahli kami akan sedaya upaya mematuhi segala SOP yang telah ditetapkan bagi melancarkan sebarang aktiviti seni dilapangan,” ujarnya lagi.

Dia juga memberitahu pihaknya telah beberapa kali menghantar surat rasmi kepada pihak kerajaan bagi membuka semula industri ini dengan SOP yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Kelmarin, Perdana Menteri mengumuman pembukaan semula sektor industri kreatif yang berkuatkuasa hari ini. – MalaysiaGazette