Suasana orang ramai menggunakan pengangkutan awam sempena hari pertama peralihan fasa ke 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) di kawasan Lembah Klang di Stesen LRT KL Sentral, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 10 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Tiada kesesakan luar biasa dalam kalangan pengguna pengangkutan awam pada hari pertama peralihan fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Tinjauan MalaysiaGazette di stesen bas Pasar Seni dan rel Transit Aliran Ringan (LRT) KL Sentral sekitar pukul 8.30 pagi mendapati tiada kesesakan yang berlaku pada waktu puncak dengan kapasiti penumpang berada pada tahap sederhana.

Rata-rata pengguna juga dilihat kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PPN yang ditetapkan oleh Rapid Rail termasuk pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal antara penumpang.

Suasana lengang di Stesen Bas Pasar Seni sempena hari pertama peralihan fasa ke 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) di kawasan Lembah Klang di Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 10 SEPTEMBER 2021.

Kelihatan beberapa petugas Rapid Rail dan anggota polis bantuan yang ditugaskan di stesen-stesen sentiasa melakukan pemantauan dan rondaan bagi memastikan kesemua penumpang patuh terhadap SOP yang ditetapkan.

Sementara itu, menurut Ketua Pegawai Operasi LRT Rapid KL, Azmi Md Zain, terdapat perubahan pada kekerapan perkhidmatan LRT laluan Ampang/ Sri Petaling, LRT laluan Kelana Jaya, Monorel KL dan MRT laluan Kajang berikutan peralihan fasa 2 PPN bermula hari ini.

Katanya, operasi rel bermula pada pukul 6 pagi sehingga pukul 11 malam dan pengguna boleh merujuk pada jadual kekerapan rel terkini.

Jadual kekerapan rel terkini pada peralihan Fasa 2 PPN.

“Kita sentiasa memantau, ada televisyen litar tertutup (CCTV) untuk pantau situasi penumpang di dalam tren sekiranya perlu kita tambah tren, kita akan tambah.

“Penumpang juga tak perlu risau kerana kapasiti kita lebih dari cukup buat masa sekarang.

“Kita masih lagi mengekalkan SOP dan kakitangan juga sudah lakukan yang terbaik, jadi kita harap penumpang juga boleh ikuti SOP yang telah ditetapkan.

“Contohnya kalau tidak sihat kita tak benarkan penumpang untuk menaiki perkhidmatan atau tidak memakai pelitup muka. Ini peranan dan tanggungjawab rakyat bersama Rapid Rail untuk memastikan kita dapat menangani pandemik Covid-19 ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika melakukan tinjauan di LRT KL Sentral pada hari pertama peralihan fasa 2 PPN.

Pada Rabu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya beralih ke fasa 2 PPN bermula hari ini.

Ismail Sabri berkata, peralihan itu memberi kelonggaran kepada penduduk lengkap menerima vaksin termasuk kebenaran merentas daerah.

Dalam pada itu, Azmi turut menggalakkan pengguna Rapid Rail untuk memuat turun aplikasi Pulse yang direka untuk membantu penumpang pengangkutan awam di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kuantan.

Ketua Pegawai Operasi LRT Rapid KL, Azmi Md Zain menunjukkan status perkhidmatan MRT, LRT dan Monorel sempena hari pertama peralihan fasa ke 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) di kawasan Lembah Klang di Stesen LRT KL Sentral, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 10 SEPTEMBER 2021.

Jelas beliau, ini bagi membolehkan pengguna merancang perjalanan mereka di sepanjang laluan dan rangkaian Rapid dengan lebih mudah.

“Kita minta semua pelanggan untuk muat turun aplikasi Pulse ini yang menyediakan segala informasi terkini dan juga status perkhidmatan kita, mereka boleh lihat menerusi aplikasi tersebut,” ujarnya.

Aplikasi Pulse yang disediakan oleh Prasarana merangkumi bas MRT, LRT, Monorel KL, Sunway BRT, bas di bawah Rapid Penang, Rapid Kuantan, Rapid KL, termasuk bas feeder MRT. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast