Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee bercakap pada sidang media selepas Majlis Pengumuman Agihan Dividen Dana Peladang Kebangsaan di Wisma Tani, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 10 SEPTEMBER 2021.

PUTRAJAYA – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) berpendapat kenaikan harga produk makanan haiwan ternakan perlu dikaji agar tidak membebankan pengusaha dan pengguna.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, pihaknya bersetuju sekiranya ada keseimbangan di antara kos pengeluaran produk makanan dan pengguna walaupun isu kenaikan harga ayam bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Beliau memberitahu, satu kajian perlu diadakan bagi menangani kenaikan harga produk makanan haiwan ternakan terbabit.

“Terdapat beberapa faktor logistik menyebabkan kenaikan harga ayam seperti komponen makanan dan benih ayam.

“Masalah kenaikan harga ayam membabitkan kepentingan semua pihak yang perlu diambil kira termasuk pengguna dan pihak industri,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pengumuman Agihan Dana Peladang Kebangsaan 2020 di kementeriannya di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri I, Datuk Seri Ahmad Hamzah; Timbalan Menteri II, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh dan Ketua Setiausaha MAFI, Datuk Haslina Abdul Hamid.

Media hari ini melaporkan ada peniaga masih menjual ayam pada harga antara RM8.10 hingga RM9 sekilogram, manakala harga borong pula antara RM7.99 hingga RM8.10 sekilogram.

Mengulas lanjut, Ronald berkata, pihaknya mengambil maklum kenaikan harga tinggi ayam di pasaran yang membebankan pengguna.

Jelas beliau, pada masa sama, faktor yang mempengaruhi di peringkat ladang juga harus diambil oleh semua pihak.

“Pada masa ini, harga dedak, soya dan jagung di pasaran dunia meningkat sehingga mempengaruhi harga jualan yang tinggi di negara ini, sekali gus menyebabkan kenaikan harga jualan ayam di pasaran,” katanya. – MalaysiaGazette