KUALA LUMPUR – Keseluruhan bayaran sehingga kini Bantuan Khas Covid-19 (BKC), Bantuan Prihatin Nasional 2.0 (BPN 2.0), Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dan BPR Tambahan yang disediakan orang kerajaan kepada hampir 10 juta penerima berjumlah RM12.3 bilion.
Kesemua bantuan itu adalah bantuan tunai.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, BKC merupakan sebahagian daripada pelbagai bantuan-bantuan lain yang akan disalurkan secara berterusan sehingga penghujung tahun ini.
Beliau berkata demikian dalam Laporan Laksana ke-67 hari ini.
Jangkaan baki pembayaran BPR (Fasa 3 dan rayuan), BKC (Fasa 2 dan Fasa 3) dan Bantuan Kehilangan Pendapatan (BKP) pada September hingga Disember 2021 dianggarkan berjumlah RM4.8 bilion.
Secara keseluruhannya, peruntukan berjumlah RM17.1 bilion telah disediakan oleh kerajaan pada tahun ini bagi pelaksanaan BPN 2.0, BPR, BPR Tambahan, BKC dan BKP yang telah dan akan disalurkan kepada penerima yang layak.
Dalam pada itu, katanya, setakat 27 Ogos lalu, sebanyak RM941.43 juta telah disalurkan berdasarkan 2,580,713 tuntutan yang terdiri daripada doktor, jururawat dan kakitangan perubatan lain yang terlibat secara langsung dalam pengurusan dan pembendungan wabak Covid-19.
Elaun ini turut meliputi anggota tentera, polis, kastam, imigresen, bomba, anggota Angkatan Pertahanan Awam serta anggota RELA yang terlibat secara langsung dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). – MalaysiaGazette