Covid-19 cases screening saringan Covid-19 cases screening
Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Sebanyak 28 lagi kluster baharu Covid-19 dikesan di negara ini dalam tempoh 24 jam lalu membabitkan 823 kes.

Daripada jumlah tersebut, 17 daripadanya adalah kategori tempat kerja dengan 593 kes diikuti kategori komuniti sebanyak enam kluster (99 kes), kategori kumpulan berisiko sebanyak tiga kluster (93 kes) dan kategori pendidikan (38 kes).

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, lapan kluster tempat kerja dilaporkan di Johor, tiga di Perak, masing-masing dua di Melaka dan Pulau Pinang dan satu di Kelantan.

Katanya, sebanyak lima kluster kategori komuniti dikesan di Kelantan membabitkan daerah Pasir Puteh, Bachok, Kuala Krai serta dua di Pasir Mas dan satu di Hulu Perak, Perak.

Sementara itu kluster kumpulan berisiko tinggi dilaporkan dua di Perak serta satu di Kelantan dan dua kluster membabitkan pendidikan di kesan di Kelantan dan Johor.

“Kluster kumpulan berisiko tinggi yang di kesan di Kinta, Perak adalah melibatkan kakitangan dan penghuni-penghuni sebuah pusat jagaan di Jalan Tanjung Rambutan, Bukit Kinding Orchards, Tanjung Rambutan, Kinta dengan sejumlah 60 kes.

“Kes indeks bagi kluster ini merupakan seorang warga emas berumur 93 tahun yang dilaporkan positif Covid-19 pada 8 September hasil saringan kematian.

“Turut dalam kategori kumpulan berisiko tinggi, kluster dikenali Jalan Gapis di Manjung, Perak membabitkan kakitangan di sebuah pusat kesihatan dengan 26 kes positif Covid-19 hasil saringan seramai 221 individu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, satu lagi kluster kumpulan berisiko dilaporkan di Pasir Puteh dan Bachok, Kelantan dikenali sebagai kluster Jalan Cherang Ruku yang melibatkan kakitangan sebuah pusat kesihatan.

Setakat ini negara mencatatkan sebanyak 5,087 kluster dengan 3,641 kluster telah tamat dan 1,446 merupakan kluster aktif. – MalaysiaGazette