Adnan Mat

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menempelak bekas Peguam Negara, Tommy Thomas yang mengaitkan penjawat awam di negara ini dengan sebuah parti politik dalam ucapannya baru-baru ini.

Presidennya, Adnan Mat menyifatkan pandangan yang dilemparkan itu sebagai jelik dari seorang yang pernah menjawat jawatan dalam perkhidmatan awam.

Menurut beliau, Tommy telah mengaitkan penjawat awam menerusi ucapannya dalam sebuah webinar yang bertajuk ‘UMNO Redux: What Next For Malaysia?’.

“Bekas Peguam Negara itu dilihat telah membuat kesimpulan mengenai pemikiran politik penjawat awam tanpa dapatan atau kajian yang kukuh bagi membuktikan apa yang didakwa oleh beliau.

“Beliau mendakwa bahawa penguasaan sebuah parti politik ketika ini begitu utuh sehingga ribuan penjawat awam yakin parti tersebut sinonim dengan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Adnan lagi, Tommy tidak seharusnya mengaitkan penjawat awam dengan mana-mana parti politik atau ideologi kerana prinsip yang didukung oleh penjawat awam adalah neutral dan profesional dalam perkhidmatan masing-masing.

Jelas beliau, penjawat awam sentiasa mendukung mana-mana kerajaan yang memerintah tanpa mengira latar belakang politik yang mengetuai tampuk kepimpinan kerajaan.

“Sebagai jentera kerajaan, fokus penjawat awam adalah memastikan sistem penyampaian perkhidmatan sentiasa berada pada tahap maksimum untuk manfaat rakyat selaras dengan dasar kerajaan semasa.

“Sebagaimana larangan penjawat awam untuk tidak menyentuh atau mengeluarkan pendapat mengenai isu politik, Cuepacs berharap perkara tersebut turut dihormati oleh pemimpin politik dengan tidak mengaitkan penjawat awam dengan mana-mana pertikaian politik.

“Penjawat awam juga rakyat Malaysia dan mempunyai kecenderungan politik tetapi mereka semua tetap profesional dan neutral dalam melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat dan negara,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru seluruh penjawat awam untuk kekal fokus melaksanakan tanggungjawab masing-masing bagi memastikan negara kembali di landasan yang terbaik. – MalaysiaGazette