Kelihatan pengunjung melihat duit lama dan matawang dari pelbagai negara yang dipamerkan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Muzium Bank Negara dan Galeri Seni, Sasana Kijang, Kuala Lumpur. Gambar arkib MalaysiaGazette

KUALA  LUMPUR – Ketika dunia sedang berdepan  cabaran untuk menentang wabak COVID-19, para kurator dan pendidik telah  mula  menggunakan  kaedah baharu dalam penyampaian pameran – pameran dan  pendidikan  di  muzium.  Dengan  berpaksikan  hala  tuju  baharu  ini,  bagaimanakah Muzium dan Galeri Seni BNM (BNM MAG) pada masa hadapan?

Noreen  Zulkepli,  Pemangku  Pengarah  Jabatan  Hospitaliti dan Muzium Bank  Negara  Malaysia  (BNM)  berkata,  “Halangan  kepada  pameran  fizikal  dan inisiatif  pendidikan  secara  bersemuka  seperti  lawatan sekolah, lawatan berpandu  dan  program jangkauan  luar  disebabkan oleh pandemik merupakan suatu  pengalaman  yang  asing kepada kita.

Walau bagaimanapun norma baharu ini  telah  memberi  peluang  kepada  kami  untuk  meneroka cara baharu dan inovatif  untuk  berhubung dengan masyarakat luar.

BNM MAG merupakan antara muzium  terawal  di  dalam  negara  yang memulakan pendigitalan pameran dan program pendidikan.  Ianya telah tersedia di dalam talian pada ketika ini’

“Di samping  itu,  kejayaan kerjasama kami dengan pihak sekolah, kolej dan  universiti  dalam  penganjuran  pelbagai  ceramah  dan pertandingan, sangat memberangsangkan dan berjaya mencapai jangkauan yang lebih luas.

”Selain itu kami  juga  menawarkan  beberapa  program  tahunan  utama kami secara dalam talian.  Walaupun  berdepan  dengan  keadaan  semasa  yang  mencabar,  kami berhasrat  untuk  terus  memacu  ke  hadapan  dengan  pameran  dan  program pendidikan  yang  dirancang  serta  bersedia  untuk menyesuaikan diri dalam keadaan  hibrid  dimana ianya akan dilakukan secara fizikal dan juga maya,” tambah Noreen.

Dalam  enam bulan pertama tahun ini, BNM MAG telah melancarkan tiga pameran
maya  yang  baharu, bazar seni maya dan pelbagai program serta pertandingan secara dalam talian.

Antara barangan peribadi Gabenor Bank Negara Malaysia yang pertama, Tun Ismail Ali dipamerkan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Muzium Bank Negara dan Galeri Seni, Sasana Kijang, Kuala Lumpur. Gambar arkib MalaysiaGazette

Pameran-pameran maya:

 1.   Karya Logam: Seni Mata Wang

Umum  sedia  maklum  bahawa BNM merupakan pengeluar tunggal mata wang       kertas   dan  duit  syiling  Malaysia,  tapi  hanya  segelintir  yang mengetahui bahawa duit syiling telah wujud sejak lebih daripada 2,000 tahun  dahulu. Sejarah disebalik duit syiling ini menarik sebagaimana  sejarah tamadun-tamadun sepanjang zaman itu. Sebenarnya, ia memainkan peranan penting dalam kemajuan mata wang dan perdagangan dunia! Dalam pameran  maya  ini,  pelawat berpeluang meneroka peranan sejarah duit     syiling   sebagai   salah   satu   bentuk  pembayaran  dan  mendalami perkembangan seni penghasilan duit syiling. Pelawat juga boleh mereka bentuk  duit syilingnya sendiri serta berkongsi pendapat tentang masa depan wang logam ini yang berada di dalam dompet mereka.   www.museum.bnm.gov.my/wom

   2.   SCARCITY: Utamakan Keutamaan

Semua  pihak  mempunyai  peranan  dalam kecemasan iklim! Pameran maya       SCARCITY  amat bermanfaat bagi sesiapa yang ingin mempelajari tentang kecemasan  iklim  yang  sedang berlaku. Terokai kesan perubahan kecil dalam  rutin  harian  anda  bagi  memelihara persekitaran kita dengan lebih  baik dan ketahui mengapa isu perubahan iklim menjadi perhatian bank -bank pusat. Melalui pameran ini, pelawat juga boleh meneroka hubung  kait antara perubahan iklim dan kekurangan (scarcity) melalui   pelbagai  medium seperti gambar, video dan permainan interaktif. Para pelawat  juga  dapat  melihat video yang menerangkan sains di sebalik kecemasan  iklim,  melakukan  aktiviti  main  peranan  dan kajian kes tentang isu alam sekitar di seluruh dunia.     http://museum.bnm.gov.my/scarcity/bm/

   3.   KERINGAT: Riwayat Pendahulu Negara

KERINGAT    menggambarkan    kronologi   peristiwa   yang   membentuk perkembangan  sosioekonomi  Malaysia  menerusi  pelbagai  karya  yang mengagumkan.  Pameran  ini  menampilkan  53 karya catan dan fotografi yang  memaparkan  usaha gigih para pendahulu negara dalam empat jenis pekerjaan  semenjak  era  penjajahan  di  Tanah Melayu sehingga dekad 1980-an  iaitu  terutamanya  menunjukkan sektor pertanian, perikanan, perlombongan  dan perniagaan kecilan.  Antara seniman terdahulu dalam     pameran  ini ialah: Yong Mun Sen (1896-1962, Sarawak), Abdullah Ariff  (1904-1962,  Pulau  Pinang),  Almarhum  Sultan Ismail Nasiruddin Shah  (1907-1979,  Terengganu), Kuo Ju Ping (1908-1962, China), Chuah Thean Teng  (1912-2008,  China),  Mohd  Salehuddin  (1914-tidak  diketahui,  Selangor), dan ramai lagi. www.museum.bnm.gov.my/forefathers

Bazar Seni Maya:

Bazar Seni Maya: JARI (Jaringan Akal Kreatif).  Bagi  mereka yang pernah berkunjung ke Bazar Seni kami beberapa tahun sebelumnya,  padakali  ini  BNM  MAG  menawarkan  sesuatu  yang lebih menarik  iaitu  bazar  secara  maya. JARI, menampilkan 30 orang bakat muda  dengan pelbagai kemahiran dan menunjukkan gaya yang tersendiri.

Untuk pertama kali, karya seni yang dijual, dipamerkan secara maya di platform  JARI  dan  juga  saluran media sosial BNM MAG. Bagi memupuk penghargaan  yang  lebih  baik, semua karya dijual pada harga RM1,500  dan  ke  bawah.  JARI  sedang berlangsung sekarang sehingga September 2021.

Cara-cara  pembelian tersedia di laman web BNM MAG. Jangan lepaskan peluang memiliki karya-karya sementara ia masih ada!  www.museumbnm.gov.my/jari

“Karya  Logam,  SCARCITY  dan KERINGAT akan menjadi salah satu pameran maya
tetap  BNM MAG. Nantikan pameran, program dan pertandingan secara maya yang
lebih  menarik  daripada  BNM  MAG  dalam  masa  yang  terdekat.  Kami juga menggalakkan  orang ramai untuk berkongsi topik atau idea baharu yang ingin
diketengahkan  di  platform  BNM  MAG.  Orang  ramai boleh menghubungi kami
melalui e-mel iaitu [email protected],” tambah Noreen lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast