Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd. Noorazam Osman.

JOHOR BAHRU – Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) tidak sewenang-wenangnya mengenakan kompaun kepada para peniaga  kerana memahami majoriti mereka terkesan akibat pandemik Covid-19.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd. Noorazam Osman berkata, pendekatan itu diambil pihaknya kerana menyedari ramai yang susah ketika ini dan tidak seharusnya menambahkan beban mereka.

“Tindakan kompaun bukan satu keutamaan bagi MBJB ketika ini, menegur dan memberi nasihat itu lebih baik kerana dalam keadaan sekarang kita kena faham ramai orang susah dan kita bantu mana yang boleh.

“MBJB juga ingin memudahkan cara, contohnya mana-mana yang mahu berususan dan membuat sebarang permohonan dengan MBJB boleh ikut norma baharu seperti mengisi borang secara dalam talian,” katanya selepas  meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Serbaguna Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Stulang hari ini.

Turut hadir Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd. Hairi Mad Shah dan Pengarah Sukarelawan dan PPV Bergerak Sekretariat Johor Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Azlinda Abd. Latif.

Mohd. Noorazam yang merupakan datuk bandar baharu juga berhasrat menjayakan Pelan Strategik MBJB 2021-2025 yang telah dirangka sebelum ini.

Beliau mahu setiap warga bandar raya itu memupuk rasa sayang dan tanggungjawab untuk bersama-sama membangunkan dan memelihara bandar raya ini.

“Setiap warga bandar raya mempunyai peranan untuk sama-sama mewujudkan ekosistem bandar raya yang sihat, bersih dan selamat,” katanya.- MalaysiaGazette