Anggota polis memeriksa kenderaan yang musnah selepas sebuah bas mini menjadi mangsa lsasaran bom di Kabul. foto Agensi

KABUL – Seorang pakar mengenai Afghanistan menyifatkan peperangan untuk memerangi keganasan di negara itu yang diterajui Amerika Syarikat (AS) sebagai kegagalan menyeluruh yang menyebabkan negara tersebut kini musnah dan kucar-kacir.

“Tidak sangsi lagi, peperangan yang diketuai AS untuk memerangi keganasan di Afghanistan sama sekali gagal dan tentera AS telah dikalahkan, sudah tentu (ia) kekalahan yang memalukan,” kata professor Universiti Rana di Afghanistan.

“Situasi terkini di Afghanistan – ketidaktentuan, kemiskinan, pengangguran dan beribu-ribu warga Afghanistan bergegas melarikan diri dari negara ini bersama AS dan sekutunya pada Ogos – jelas menunjukkan hasil daripada peperangan AS ke atas keganasan yang tiada apa-apa tetapi kemelut,” kata Khorasani kepada Xinhua.

Menurut AS, lebih 120,000 warga asing dan penduduk Afghanistan yang bekerjasama dengan tentera AS dan syarikat asing sejak 20 tahun lalu di Afghanistan dibawa keluar Oleh AS dan sekutunya dari negara tersebut pada 15 hingga 31 Ogos menerusi lapangan terbang antarabangsa Kabul dan ramai terlepas penerbangan mereka.

Khorasani menyenaraikan faktor kegagalan peperangan terhadap keganasan yang diterajui AS dan menerangkan bahawa apa yang penting ialah ‘kepincangan antara Pentagon, Jabatan Negara dan perkhidmatan perisikan’ sejak awal pencerobohan Afghanistan pada 2001.

Faktor lain ialah kekurangan dasar komprehensif dan amalan pilih kasih terhadap Afghanistan, tambah pakar itu.

Khorasani berkata, legasi kehadiran AS selama 20 tahun di Afghanistan tidak lebih daripada ketidaktentuan masa depan negara itu.

Pakar itu menyatakan ‘apabila Washington memutuskan untuk menceroboh Afghanistan kerana kepentingan sendiri dan ia dilakukan pada akhir 2001, apabila kepentingannya memerlukan ia meninggalkan Afghanistan, ia meninggalkan negara itu’.

“Pencerobohan AS ke atas Afghanistan tidak bertujuan untuk memastikan kepentingan Afghanistan.

“Di bawah dalih memusnahkan pengganas, ia menakluk Afghanistan. Jelas, Washington menyerang Afghanistan untuk kepentingannya di rantau tersebut,” dakwa Khorasani.

“Jika objektif AS adalah bagi memastikan kepentingan Afghanistan dan membawa keamanan dan kemakmuran kepada penduduk Afghanistan, Washington tidak akan berundur secara tidak bertanggungjawab,” katanya.

Beliau percaya campur tangan AS daripada aspek ketenteraan, politik dan budaya dalam hal ehwal dalaman negara Islam itu merupakan alasan utama kemunculan ekstremis anti-AS dan anti kumpulan barat. – Agensi