Sebahagian wakil kerajaan dan pembangkang yang berbincang mengenai MoU bersama hari ini.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri dan Ketua Pembangkang akan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi bekerjasama mengembalikan kestabilan politik negara esok.

MoU itu juga bagi bersama menangani Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara melalui pendekatan kerjasama secara dwi-partisan.

Majlis MoU itu akan diadakan pukul 5 petang di Dewan Bankuet, Parlimen yang akan disempurnakan oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam satu kenyataan bersama wakil kerajaan dan pembangkang, keputusan itu dicapai selepas beberapa pusingan rundingan antara wakil-wakil kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) hari ini.

“Dengan persefahaman ini, tumpuan dan keutamaan akan diberikan oleh kedua-dua pihak kepada landskap politik yang baharu melalui inisiatif-inisiatif transformasi dan pembaharuan terhadap tata kelola pentadbiran kerajaan, khususnya memperkasakan peranan institusi parlimen.

“Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk mendedahkan sepenuhnya memorandum persefahaman ini kepada umum sebagai komitmen terhadap keterbukaan penuh dan kebertanggungjawaban,” kata kenyataan yang sama.

Wakil kerajaan pada sesi perbincangan hari ini melibatkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Manakala wakil pembangkang melibatkan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub; Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook; Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo; Ketua Penerangan PKR; Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil.- MalaysiaGazette