Abdul Rahman Mohamad

KUALA LUMPUR – Setakat semalam, sebanyak 128,548 dos vaksin Covid-19 telah diberikan kepada masyarakat Orang Asli di seluruh negara.

Timbalan Menteri I Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, jumlah itu merangkumi masyarakat Orang Asli yang telah menerima satu dos, dua dos serta menerima satu dos vaksin jenis CanSino.

“Seramai 80,884 orang atau 56.1 peratus daripada jumlah keseluruhan masyarakat Orang Asli yang layak divaksin di seluruh negara berjumlah 144,180 orang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Abdul Rahman, sebanyak tiga negeri masih mencatatkan kadar terendah vaksinasi masyarakat Orang Asli termasuk Terengganu, Kelantan dan Johor.

“Jumlah keseluruhan masyarakat Orang Asli yang belum menerima vaksin di ketiga-tiga negeri ini adalah seramai 16,127 orang,” katanya.

Katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia akan menggunakan vaksin jenis CanSino dengan satu dos bagi mempercepatkan kadar vaksinasi dalam kalangan masyarakat berkenaan memandangkan lokaliti mereka terletak dalam kawasan pedalaman.

“Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan terus bekerjasama dengan agensi strategik lain bagi mempercepatkan pemvaksinan di kawasan pedalaman.

“Penggunaan secara optimum aset-aset kerajaan seperti helikopter dan bot-bot ke kawasan-kawasan pedalaman ini diyakini mampu meningkatkan kadar vaksinasi bagi mencapai imuniti kelompok seperti yang dirancang oleh kerajaan pada Oktober ini.

“Kerjasama ini adalah selari dengan konsep whole government, whole society dalam memerangi pandemik Covid-19.

“Kerajaan akan memastikan seluruh Keluarga Malaysia terutama masyarakat orang asli dapat menjalani kehidupan seperti biasa seterusnya memulihkan kembali ekonomi yang terjejas dan menjana pendapatan untuk sara hidup,” katanya lagi. – MalaysiaGazette