PDRM logo police lockup death Benedict Thanilas
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Empat lelaki tempatan yang ditahan dalam kejadian seorang lelaki ditetak di hadapan bakal isterinya di Sungai Pelek, Sepang kelmarin direman tujuh hari mulai hari ini.

Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof, berkata, kesemua suspek tempatan berusia 25 hingga 32 tahun itu akan membantu polis melengkapkan kertas siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Semalam MalaysiaGazette melaporkan, mangsa berusia 45 tahun itu telah ditetak di pekarangan rumahnya dalam kejadian di Jalan Tasik Beringin 11, Taman Pantai Sepang Putra, Sg Pelek, Sepang ketika keluar untuk muntah.

Bakal isteri mangsa mendakwa pada 11.30 malam teman lelaki telah mengadu mahu muntah lalu keluar ke bahagian luar rumah.

“Ketika mangsa membuka pintu pagar depan rumah tiba-tiba datang sebuah kereta berwarna merah dinaiki empat atau lima lelaki berhenti di depan rumah mereka.

“Pada masa sama dua lelaki keluar dari kenderaan dan salah seorang suspek telah menetak mangsa di belakang badan dan kepala menggunakan parang, manakala seorang lagi memukul mangsa di bahagian kepala dengan topi keledar lalu melarikan diri,” katanya dalam kenyataaan hari ini.

BACA ARTIKEL BERKAITAN: 

Tambah beliau, berikutan insiden itu, mangsa yang parah akibat tetakan dibawa ke Hospital Putrajaya namun telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan ketika tiba di hospital.

Tidak sampai 24 jam selepas kejadian itu, kesemua suspek telah dicekup dalam serbuan oleh D9 IPK Selangor di Ladang Sepang sekitar jam 9.30 pagi.

Dua buah kereta dan empat telefon bimbit milik suspek-suspek berkenaan turut dirampas. – MalaysiaGazette