Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang semasa hadir pada Sesi Wawancara Khas Media sempena Hari Angkatan Tentera Malaysia ke - 88 di Wisma Perwira ATM, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 13 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berharap kerajaan dapat menyediakan bajet secukupnya bagi membolehkan penyelenggaraan dan gantian aset, perolehan baharu serta persenjataan usang dapat direalisasikan.

Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, ia berikutan suasana geo-politik serantau yang tidak menentu, isu persempadanan negara serta pelbagai ancaman lain menjadikan ATM memerlukan kesiapsiagaan tinggi bagi mempertahankan negara.

Dalam masa sama, beliau turut berharap bajet bagi ATM pada tahun hadapan mengambilkira keperluan kos bagi kelangsungan pelbagai kursus dan latihan ketenteraan yang telah sedia dirancang berikutan ia merupakan ongoing investment.

“Kita faham negara terkesan dari segi perbelanjaan dan tahu banyak yang sudah dibelanjakan untuk negara keluar dari pandemik Covid-19 ini.

“Tetapi saya berharap kerajaan dapat memberi kita keutamaan dari segi perbelanjaan mengurus, mungkin nak beli peralatan baharu ini kita boleh delay sehingga ekonomi pulih tetapi apa yang diperlukan sekarang adalah perbelanjaan mengurus itu dikekalkan atau ditambah.

“Perbelanjaan mengurus ini menentukan kesiapsiagaan harian seperti gaji, penyelenggaraan dan perkara-perkara yang menentukan kita boleh melakukan operasi semasa kerana ia perlu dikekalkan sama ada pandemik atau tidak kerana ancaman sentiasa ada,” katanya ketika sesi wawancara khas media sempena Hari Angkatan Tentera Malaysia ke-88 di Wisma Perwira di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai Belanjawan 2022 yang dijangka akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 29 Oktober depan.

Tambah Affendi, ATM juga memerlukan bajet secukupnya bagi membolehkan bantuan petugas sekatan jalan raya, kemudahan perubatan dan lain-lain bantuan logistik kepada pihak berkuasa dalam menangani ancaman wabak Covid-19 secara efisyen dan berkesan.

Dalam perkembangan berlainan, Affendi berkata, ATM akan terus komited membantu dan bekerjasama dengan agensi-agensi lain terutamanya Polis Diraja Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan segala perancangan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dapat dicapai.

Jelas beliau, sehingga kini ATM telah menggerakkan sejumlah 10,934 pegawai dan anggota di lapangan yang melibatkan Op Penawar dan Op Benteng.

“Komitmen ini juga dibuktikan dengan Pasukan Vaksinasi Perubatan Medan ATM yang digerakkan oleh Tentera Darat bagi membantu KKM ke kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak melalui 25 pasukan,” ujarnya. – MalaysiaGazette