Pengasas Big Blue Taxi Services, Datuk Shamsubahrin Ismail bercakap pada sidang media di Wisma Central, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 13 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Hampir dua tahun tidak beroperasi kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perkhidmatan Big Blue Taxi telah  mengalami kerugian kira-kira RM6 juta.

Itu realiti yang dihadapi pihaknya yang terkesan dengan impak penularan Covid-19, kata pengasasnya, Datuk Shamsubahrin Ismail.

Bagaimanapun, katanya, kini para pemandu teksi di bawahnya kini boleh menarik nafas lega selepas  Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) membenarkan pengoperasian semula teksi terminal bermula 15 September ini.

“Untuk kenderaan dibenarkan beroperasi di mana di bawah saya (Bug Blue Taxi) di kawasan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) contohnya, kita akan membuka semua jenis kenderaan yang diluluskan di bawah APAD teksi merah, biru, teksi kereta sewa yang berkeadaan baik.

“E-hailing juga dan teksi yang berdaftar dan beroperasi di KLCC  dengan sistem baharu,” katanya pada sidang media di Ampang hari ini.

Shamsubahrin berharap kali ini, semua pemandu yang berkhidmat di bawah Big Blue Taxi akan memperbaiki prestasi supaya dapat menarik perhatian pelanggan.

Dalam masa yang sama, beliau memberi jaminan, bukan sahaja penumpang akan dipastikan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) malah pemandu juga perlu bertindak demikian dengan menyediakan kod QR MySejahtera di kenderaan masing-masing.

Malah katanya lagi, penumpang yang tidak berpuas hati dengan pemandu teksi Big Blue Taxi boleh segera membuat aduan kerana informasi pemandu dikongsikan bersama di dalam tiket yang akan diberikan.

“Dengan ada tiket RM2 daripada kaunter  kalau pemandu teksi buat perkara tidak elok, ada data-data  dalam tiket. Sekiranya penumpang tersebut buat laporan polis hanya tunjuk tiket tersebut daripada tiket tersebut polis akan hubung pihak operasi kita dan serahkan dan hubungi pemandu,” katanya lagi.- MalaysiaGazette