Pegawai KKM mengangkat mayat seorang lelaki berumur linkungan 40 an yang maut akibat terjun dari tingkat 12 Flat Loke Yew, Kuala Lumpur. Foto HAFIZ SOHAIMI, 22 MEI 2021.

10 September setiap tahun merupakan Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia. Menurut  Polis Diraja Malaysia (PDRM), terdapat peningkatan dalam kes bunuh diri di Malaysia pada tahun lalu iaitu sebanyak 631 kes berbanding 609 kes pada tahun 2019. Amat membimbangkan bagi tahun 2021 kerana sehingga Julai 2021, sebanyak 638 kes bunuh diri dilaporkan PDRM, peningkatan sebanyak 143% bagi tempoh yang sama tahun lalu. Situasi pandemik COVID-19 memberikan impak di seluruh dunia terutamanya dalam isu kesihatan mental. Faktor sosial seperti kehilangan kerja dan sumber pendapatan, isolasi daripada orang terdekat juga memberikan risiko seperti kemurungan.

Setakat ini, kes cubaan bunuh diri di negara ini diklasifikasikan sebagai satu kesalahan jenayah di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan. Seksyen 309 juga memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih setahun atau denda atau kedua-dua sekali bagi seseorang yang disabitkan kesalahan itu. Pada tahun lalu, Mahkamah Majistret di Terengganu menjatuhkan hukuman selama enam bulan penjara kepada seorang orang kelainan upaya atas kesalahan cubaan membunuh diri. Adakah undang-undang ini masih relevan dan berkesan terus menjadi perdebatan hangat oleh semua pihak termasuk parti politik, bipartisan dan beberapa gerakan bebas.

Secara peribadi, pindaan kepada undang-undang bunuh diri ini perlu dimansuhkan (decriminalize) sebagai satu kesalahan jenayah. Ini kerana undang-undang ini tidak langsung menghalang pelaku yang cenderung untuk bunuh diri daripada melakukan perkara tersebut. Jika sifat undang-undang tersebut adalah sebagai bentuk pencegahan (deterrence) tetapi masalah masih lagi berlaku, ini menunjukkan undang-undang tersebut tidak berjaya. Hukuman ini seolah-oleh menambahkan lagi tekanan individu yang cuba membunuh diri dan tidak menyelesaikan masalah. Kita perlu sedar, masalah utama dalam kes cubaan membunuh diri adalah didorong oleh masalah kesihatan mental.

Kelemahan undang-undang ini juga mendedahkan kita kepada kelompongan inisiatif sedia ada di negara ini berkenaan masalah kesihatan mental terutamanya isu bunuh diri. Buat masa sekarang terdapat talian sokongan seperti Talian Kasih dan Talian Sokongan Psikososial COVID-19, namun usaha ini tidak mencukupi buat masa sekarang. Ini kerana talian ini tidak menyelesaikan isu ini secara berfokus. Jadi, pihak berwajib perlu untuk merangka satu talian khusus bagi mengekang isu bunuh diri. Pihak yang mengendalikan talian khusus ini terutamanya pakar psikiatri perlu mempunyai Prosedur Pengendalian Standard (SOP) yang jelas selari dengan isu semasa.

Kerajaan juga perlu merangka satu pelan jangka masa panjang bagi menyelesaikan perkara ini dengan mengenalpasti masalah utama perkara ini berlaku. Menurut PDRM, tiga punca utama yang menyebabkan kejadian bunuh diri adalah mangsa menghadapi masalah keluarga, tekanan perasaan dan kewangan. Sewaktu pandemik, kemiskinan disebabkan hilang pekerjaan dan punca pendapatan menjadi isu utama. Jadi kerajaan perlu mempunyai solusi yang tepat bagi menyelesaikan isu ini seperti menyediakan peluang pekerjaan dan bantuan kewangan kepada mereka yang benar-benar terjejas. Kajian menyeluruh melibatkan semua pihak berkepentingan juga perlu dilakukan berpandukan data dan maklumat yang tepat.

Mengangkat tema Hari Pencegahan Bunuh Diri 2021 iaitu ‘Creating Hope Through Action’, penting untuk setiap individu, keluarga, komuniti, pihak berkepentingan (pembuat dasar, ahli politik, kerajaan dan agensi swasta serta NGO) untuk melaksanakan tindakan segera bagi mengetengahkan isu bunuh diri secara kolektif. Bunuh diri boleh dielakkan tetapi tindakan segera perlu dilaksanakan bagi membendung isu ini. Sebagai masyarakat, kita harus prihatin, mendengar, ambil tahu dan memberikan sokongan kepada mereka yang memerlukan.

 

Ainie Haziqah
Peguam dan Ketua Wanita Muda Negara