Laluan pemberian vaksin secara ‘walk in’ lengang di Spice Convention Centre, Pulau Pinang.

BAYAN LEPAS – Pemberian suntikan vaksin Covid-19 secara ‘walk in’ di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Spice Convention Centre (Spice CC) di sini mencatatkan trend penurunan dalam tempoh lima hari pelaksanaan itu diumumkan Kerajaan Negeri.

Tinjauan MalaysiaGazette lebih dua jam mendapati laluan ‘walk-in’ yang disediakan untuk orang awam berusia 18 tahun ke atas di PPV berkenaan lengang.

Menurut Penyelaras PPV Spice CC, Mohammad Redzuan Abdul Moin, secara purata seramai 711 individu hadir untuk mendapatkan vaksin secara ‘walk-in’ dala tempoh lima hari sehingga semalam.

Kata beliau, khadiran secara ‘walk-in’ hanya ramai pada hari pertama iaitu seramai 327 orang dan trend kehadiran itu berkurangan hari ke hari.

Mohammad Redzuan.

“Pemberian vaksin secara ‘walk-in’ bermula sejak Rabu lalu dan kita jangkakan kehadiran orang awam lebih ramai pada hujung minggu, namun jangkaan itu meleset apabila 67 individu saja hadir semalam.

“Rata-rata yang hadir secara ‘walk-in’ ini belum mendapat tarikh janji temu walaupun sudah membuat pendaftaran menerusi aplikasi MySejahtera dan ada yang terlepas tarikh vaksinasi akibat dikuarantin,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Mengulas lanjut, Mohammad Redzuan berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan kebanyakan rakyat tempatan sudah menerima tarikh janji temu serta vaksin menyebabkan kehadiran secara ‘walk-in’ kurang mendapat sambutan.

Jelas beliau, orang awam juga dipercayai mendapatkan vaksin daripada hospital serta klinik swasta dengan kadar bayaran tertentu antara faktor kekurangan ‘walk-in’ ke PPV yang ditetapkan kerajaan.

“Walaupun kehadiran orang awam secara ‘walk-in’ kurang sambutan, pihak PPV Spice CC tetap menyediakan 500 dos vaksin jenis Pfizer setiap hari bagi memastikan proses vaksinasi terhadap mereka yang hadir itu berjalan dengan lancar.

“Selain itu, kita juga menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) di mana setiap individu yang hadir bagi mendapatkan vaksin secara ‘walk in’ akan lengkap proses berkenaan dalam tempoh 30 hingg 45 minit.

“Langkah itu dibuat bagi mengelakkan berlaku kesesakan serta jangkitan dalam PPV,” kata Mohammad Redzuan.

MalaysiaGazette sebelum ini melaporkan pelaksanaan imunisasi secara ‘walk in’ kepada semua warganegara Malaysia di Pulau Pinang bermula pada 8 September.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, antara Pusat Pemberian Vaksinasi (PPV) yang terlibat seperti di PPV Spice Convension Center, PPV Tapak Pesta Sungai Nibong; PPV Kompleks Sukan Balik Pulau; PPV Pusat Konvensyen Perda dan PPV Dewan Millenium dengan waktu pengoperasian bermula jam 10 pagi. – MalaysiaGazette