KUALA LUMPUR – Sebanyak tujuh lokaliti baharu melibatkan empat lokaliti di Sabah, satu di Pahang dan dua di Kelantan  dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKPD) selama 14 hari berkuatkuasa 15 hingga 28 September ini.

Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md Saat berkata, antara lokaliti baharu di Sabah melibatkan Kilang Fu Yee, Brantian, Kalabakan dan Kampung Rugading, Kota Marudu serta Kampung Warisan dan Rumah Pangsa Tanjung Aru di Kota Kinabalu.

“Tiga lagi lokaliti baharu PKPD ialah Kampung Paya Pelong, Kerdau, Temerloh, Pahang serta Kampung Bendang Pak Yong dan Kampung Simpangan di Mukim Pengkalan Kubur, Tumpat, Kelantan.

“PKPD di tujuh lokaliti tersebut dibuat setelah MKN meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, MKN juga melanjutkan dua PKPD masing-masing di Sabah dan Pahang yang dijadualkan tamat pada 14 September 2021 selama 14 hari, dari 15 hingga 28 September 2021.

“Dua PKPD yang dilanjutkan itu ialah Kampung Lotong, Kota Marudu, Sabah serta Kampung Temalian, Mukim Ulu Dong, Raub, Pahang,” katanya.

Sementara itu, MKN juga akan menamatkan pelaksanaan PKPD pada 14 September 2021, masing-masing dua di Sabah dan tiga di Kelantan yang mula menjalani perintah itu pada 18 Ogos 2021 dan 1 September 2021.

“Antaranya Kampung Hidayat, Batu 4 di Tawau dan Kampung Penangah, di Tongod.

“Manakala tiga lokaliti di Lata Rek, Mukim Olak Jeram, Kuala Krai, Kelantan iaitu Kampung Lata Tual, Kampung Tok Uban dan Kampung Kubang Kerian,” katanya. – MalaysiaGazette