Rata-rata mereka mendakwa sijil vaksinasi hanya akan terpapar menerusi MySejahtera selepas tiga hingga lima hari dari tarikh suntikan dos kedua itu pun sekiranya mereka mengemaskini aplikasi itu kepada versi terbaharu.
“Saya difahamkan selepas lengkap vaksinasi dengan biayai sendiri hanya akan mendapat kad suntikan vaksinasi dan Sijil Digital Vaksinasi daripada pembekal vaksin berkenaan.
“Namun, hampir di semua tempat atau premis kunjungan orang ramai, mereka hanya terima Sijil Digital Vaksinasi yang terpapar dalam MySejahtera.
“Situasi ini telah mendatangkan kesulitan kepada mereka yang lengkap vaksinasi (tetapi tidak mempunyai Sijil Digital Vaksinasi dalam MySejahtera) sehingga mereka tidak dibenarkan masuk ke dalam sesebuah premis,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurutnya, klinik swasta memaklumkan, mereka memerlukan tempoh masa dua hingga empat minggu bagi proses Sijil Digital Vaksinasi melibatkan penerima vaksin Covid-19 dengan tanggungan kos sendiri.
“Secara tidak langsung, klinik swasta yang memberi perkhidmatan suntikan vaksin Covid-19 biayai sendiri juga menerima tekanan, desakan dan persoalan daripada orang ramai tentang masalah ini.
“Masalah ini sepatutnya tidak akan terjadi kerana klinik swasta hanya bekerjasama dengan kerajaan untuk mempercepatkan kadar vaksinasi supaya imuniti kelompok tercapai dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya.
Menurut Chen Choon, selepas pengumuman pembukaan kemudahan sektor perdagangan, sesetengah rakyat terpaksa membiayai sendiri kos suntikan vaksin Covid-19 sendiri kerana mereka tidak menerima janji temu vaksinasi di MySejahtera.
Masalah itu secara tidak langung akan menjejaskan kadar vaksinasi di sesuatu kawasan terutama di Jementah, katanya.
Justeru, katanya, kerajaan perlu segera menyelesaikan masalah teknikal berkenaan daripada pembekal vaksin aplikasi MySejehtera secepat mungkin.- MalaysiaGazette
















