Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

PUTRAJAYA – Tatacara permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah (CPC) di seluruh negara diperkemas mulai hari ini.

Antaranya dengan memberi peluang kepada orang yang disyaki (OYDS) diwakili peguam pada prosiding tersebut.

Menurut Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam kenyataannya, pegawai penyiasat perlu memastikan OYDS telah melantik peguam dan peguam itu telah dimaklumkan untuk hadir bagi pengendalian prosiding reman tersebut.

“Pengendalian prosiding perlu ditangguhkan kepada suatu masa yang munasabah pada hari yang sama bagi membolehkan peguam yang telah dihubungi, hadir mewakili anak guamnya termasuk pada cuti hujung minggu dan cuti umum.

“Namun permohonan reman akan diteruskan jika OYDS tidak berhasrat diwakili peguam atau tiada peguam hadir dalam tempoh yang ditetapkan.

“Bagi OYDS tidak diwakili peguam atau tidak berkeupayaan melantik peguam, OYDS tersebut akan dimaklumkan oleh majistret akan hak OYDS untuk mendapatkan khidmat bantuan guaman daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) sekiranya OYDS seorang warganegara dan tidak disiasat di bawah mana-mana undang-undang pencegahan, penculikan dan melarikan orang,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi Arahan Amalan Ketua Hakim Negara Bilangan 11 Tahun 2021 Pengendalian Prosiding Permohonan Reman Di Bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bertarikh 10 Sept lepas bagi mengemas kini tatacara dan memastikan keseragaman bagi mahkamah di seluruh Malaysia.

Katanya, arahan itu berkuat kuasa pada 15 September ini manakala Arahan Amalan Ketua Hakim Negara 2003 dan Perenggan 2A Pekeliling Ketua Pendaftar 2012 (Garis Panduan Reman dan Pengendalian Kes-Kes Jenayah Selaras dengan penubuhan YBGK) adalah dibatalkan.

Selain itu, Tengku Maimun berkata, OYDS perlu memaklumkan kepada majistret mengenai keadaan kesihatannya semasa prosiding permohonan reman.

“Sekiranya majistret mendapati bahawa OYDS memerlukan rawatan, pegawai penyiasat hendaklah memastikan bahawa OYDS itu dibawa ke hospital bagi tujuan pemeriksaan dan rawatan yang sewajarnya,” ujarnya.

Susulan arahan terbaharu itu, dua arahan terdahulu berkaitan prosedur reman di bawah Seksyen 117 yang dikeluarkan pada 2003 dan 2012 telah dibatalkan. -MalaysiaGazette