Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pengeluaran getah asli meningkat 22.3 peratus pada bulan Julai 2021 (47,473 tan metrik) berbanding pada bulan Jun tahun yang sama
(38,807 tan metrik).

Manakala pengeluaran tahunan meningkat 13.6 peratus berbanding 41,801 tan metrik bulan yang sama pada tahun sebelumnya.

Peningkatan pengeluaran ini disokong oleh pertumbuhan bulan ke bulan pengeluaran getah asli oleh sektor estet (2.1%) dan sektor pekebun kecil
(24.8%).

Manakala perbandingan tahun ke tahun, sektor kebun kecil kekal positif, iaitu 18.0 peratus, sebaliknya sektor estet menunjukkan pertumbuhan
negatif 17.6 peratus.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, sumbangan utama pengeluaran getah asli di Malaysia adalah daripada sektor pekebun kecil (90.9%) berbanding sektor estet (9.1%).

Seiring dengan peningkatan pengeluaran ini, jumlah stok getah asli turut menunjukkan peningkatan 16.0 peratus pada Julai 2021 kepada 280,810 tan metrik berbanding 242,072 tan metrik pada Jun 2021.

Eksport getah asli Malaysia berjumlah 48,645 tan metrik pada bulan Julai 2021 meningkat 0.1 peratus berbanding bulan Jun 2021 (48,589 tan
metrik).

China kekal sebagai destinasi utama eksport iaitu 44.6 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada Julai 2021 diikuti Amerika Syarikat (7.7%), Finland (5.0%), Turki (2.8%) dan Mesir (2.7%).

Prestasi eksport produk getah negara disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub, benang getah dan kondom.

Menurunya, produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai sebanyak RM3.9 billion pada Julai 2021, menurun sebanyak 39.9 peratus berbanding Jun 2021 (RM6.4 billion).

Melihat kepada senario perbandingan harga purata bulanan, Lateks Pekat merekodkan penurunan sebanyak 12.4 peratus (Julai 2021: 494.38 sen
sekilogram, Jun 2021: 564.62 sen sekilogram) dan getah cair sebanyak 18.5 peratus (Julai 2021: 546.94 sen sekilogram, Jun 2021: 671.47 sen
sekilogram).

Keadaan yang sama turut berlaku kepada jenis Getah Mutu Malaysia (GMM) CV dan L masing-masing menurun 12.2 dan 12.3 peratus manakala harga bagi G.M.M lain menunjukkan peningkatan iaitu GMM. 5 (1.4%), GMM. GP (1.5%), GMM 10 (1.5%) dan GMM 20 (1.5%). – MalaysiaGazette