Siti Bainun Ahd Razali. Foto AFFAN FAUZI, 14 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret Kanak-Kanak di sini hari ini menetapkan 28 Oktober ini mendengar permohonan tuntutan hak penjagaan penuh pengasas rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali bagi lima anak angkat dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Peguam Nur A’minahtul Mardiah Md. Nor yang mewakili Siti Bainun berkata, tarikh itu ditetapkan oleh Majistret Norfarahain Roslan ketika sebutan kes.

“Pada tarikh itu (28 Oktober) mahkamah boleh tentukan siapa yang layak untuk menjaga lima kanak-kanak itu,” katanya.

Tambah Nur A’minahtul, mahkamah turut mendengar permohonan Siti Bainun untuk membatalkan perintah sementara yang memberikan hak penjagaan lima kanak-kanak itu kepada JKM.

“Hak penjagaan sementara itu diberi kepada JKM selepas Siti Bainun ditahan berhubung dakwaan penderaan melibatkan seorang kanak-kanak sindrom Down bernama Bella.

“Mahkamah bagaimanapun menolak permohonan kami untuk mengetepikan perintah interim itu kerana menganggap ia dibuat mengikut undang-undang,” katanya selepas prosiding berkenaan hari ini.

Nur A’minahtul menambah, mahkamah hari ini juga membenarkan permohonan Siti Bainun untuk bertemu salah seorang anak angkatnya secara fizikal manakala permohonan interim bagi kesemua empat lagi kanak-kanak akan dipohon dalam masa terdekat.

Sementara itu,  tiga daripada lima ibu keluarga kanak-kanak tersebut telah membuat permohonan untuk membatalkan afidavit menyokong permohonan hak penjagaan sementara yang difailkan sebelum ini.

Peguam Muhammad Hafiz Hood dan Megat Syazlee Mokhtarom yang mewakili keluarga tiga kanak-kanak itu berkata, pendengaran bagi kes pembatalan afidavit yang telah difailkan itu akan didengar pada 2 November ini.

Pada 2 Ogos lalu, Siti Bainun , 29, dan lima lagi ibu kandung kepada anak angkatnya itu memfailkan notis permohonan hak penjagaan sementara tersebut melalui Tetuan Chambers of Aminatul Mardiah di Mahkamah Kanak-Kanak di sini dengan menamakan Agensi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai responden.

Permohonan tersebut adalah bagi pembatalan perintah interim yang di berikan kepada JKM tanpa mematuhi keperluan di bawah Seksyen 30 (10) Akta Kanak-Kanak 2001 di mana penjaga yang sah tidak diberikan peluang hadir dan berhujah semasa perintah interim diberikan.

Berdasarkan dokumen yang diperoleh sebelum ini, antara permohonan itu ialah perintah pembatalan jagaan sementara lima anak angkat Siti Bainun yang sekarang diberikan kepada dua buah rumah kebajikan.

Selain itu, permohonan itu turut menyatakan ia adalah permintaan daripada keluarga kandung lima kanak-kanak itu yang mana mereka mahu jagaan diberikan kepada pihak pemohon. – MalaysiaGazette