Bangunan Maybank Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Maybank Investment Bank (Maybank IB) Research mengekalkan pendirian positifnya terhadap sektor perbankan, walaupun kerajaan telah mengambil langkah mengarahkan institusi perbankan untuk berusaha mengecualikan pembayaran faedah bagi penerima moratorium pinjaman.

Semalam, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata langkah itu melibatkan penerima moratorium dari kumpulan 50 peratus terbawah (B50) daripada keseluruhan rakyat Malaysia untuk sepanjang tempoh tiga bulan, dari Oktober hingga Disember 2021.

Dalam nota penyelidikannya hari ini, Maybank IB berkata, pengecualian faedah pinjaman B50 di bawah moratorium adalah kejutan negatif bagi sektor ini, yang perlu berhadapan dengan kerugian pengubahsuaian  yang lebih besar daripada dijangkakan tahun ini.

”Pengiraan kasar kami menunjukkan secara purata ia memberi kesan sebanyak tujuh peratus terhadap pendapatan bagi bank-bank dalam liputan kami.

“Kami menganggarkan jumlah kerugian pengubahsuaian sekitar RM1.42 bilion untuk bank dalam liputan kami berbanding RM1.35 bilion pada tahun 2020,” katanya.

Bagaimanapun, ia menyatakan kerugian pengubahsuaian adalah sekali gus pada kebiasaannya dan jumlahnya dapat dituntut balik dalam tempoh pinjaman.

“Terdapat banyak kecairan dalam sistem dan permodalan bank-bank adalah baik. Justeru, kami menjangkakan pendapatan akan pulih pada tahun 2022 sekiranya tiada kerugian pengubahsuaian,” tambahnya.

MIDF Research turut mengekalkan pendirian positif terhadap sektor perbankan walaupun terdapatnya pengecualian faedah sambil menambah impaknya adalah sedikit kerana ia menjejaskan segmen paling kecil pendapatan faedah bank dan tidak mempengaruhi keseluruhan buku pinjaman bank .

Namun begitu, ia berkata sektor ini mungkin bimbang kemungkinan terdapat kenaikan kos kredit dan tekanan yang tinggi terhadap kualiti aset yang berpunca daripada sekatan pergerakan berpanjangan pada Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara.

“Bagaimanapun, kami tetap yakin dengan prospek sektor perbankan pada tahun kalendar 2021 dan  2022.

“Keyakinan kami berdasarkan kepada pemulihan ekonomi susulan pembukaan semula ekonomi secara berperingkat kerana kami percaya sektor perbankan mampu menyerap kos kredit yang lebih tinggi daripada jangkaan serta tekanan pada kualiti aset kerana adanya paras penampan yang tinggi,

“Di samping itu, kami juga menjangkakan sebarang  kenaikan kos kredit tidak akan sama seperti mana tahun kalender 2020, memandangkan keadaan yang berbeza tahun ini,” katanya. – MalaysiaGazette