FGV

KUALA LUMPUR- FGV Holdings Berhad (FGV) menerima kelulusan untuk 14,635 bekalan vaksin bagi program vaksinasi pekerja ladang tempatan dan asing di Pahang, Perak, Negeri Sembilan dan Johor di bawah inisiatif Vaksinasi Sektor Agrikomoditi (VACOMS).

Menurut FGV, daripada jumlah tersebut 7,654 vaksin diperuntukkan untuk pekerja-pekerja ladang di Pahang, 1,210 di Perak, 1,535 di Negeri Sembilan dan 4,236 di Johor.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Mohd Nazrul Izam Mansor berkata, pelaksanaan program VACOMS merupakan inisiatif FGV dalam menyokong usaha kerajaan memperluaskan pemberian vaksin kepada petugas barisan hadapan sektor ekonomi, khususnya industri perladangan negara.

“Penyediaan vaksin merupakan tanggungjawab kami dalam memastikan setiap pekerja yang berkhidmat di ladang-ladang FGV mempunyai akses terhadap hak kesihatan. Kami berharap langkah ini dapat membantu mengurangkan risiko penularan wabak COVID-19, bagi mengekalkan daya saing industri perladangan negara ketika mendepani cabaran pandemik serta kekangan tenaga buruh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, pekerja ladang di Pahang menerima vaksin bermula 8 September hingga 18 September 2021 di lapan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di ladang-ladang FGV yang terletak di Kuantan, Jerantut, Temerloh dan Muadzam.

 

Pekerja ladang migran FGV menerima suntikan vaksinasi COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) FGV yang terletak di Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Razak (PPPTR) Tekam, Jerantut, Pahang

Ia adalah susulan dari penyelesaian program vaksinasi yang sama di Perak yang berlangsung pada 6 dan 7 September 2021, di PPV ladang-ladang FGV di Besout, Sungkai dan Tawai, Grik.

Program VACOMS untuk pekerja ladang FGV akan diperluaskan ke Negeri Sembilan dan Johor dalam masa terdekat, bagi mencapai sasaran imuniti kelompok pada bulan November 2021.

Ini tertakluk kepada kelulusan Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) dan ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) bagi pengoperasian PPV serta penerimaan bekalan vaksin di lokasi-lokasi yang bakal dijalankan kelak.

Bagi melancarkan proses pemberian vaksin, FGV bekerjasama dengan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Kementerian Kesihatan Malaysia, CITF dan ProtectHealth. Sementara itu, KL Medical Clinic (KLMC) pula dilantik sebagai agen yang menjalankan perkhidmatan suntikan vaksinasi.

Selain program VACOMS, FGV telah menjayakan program pelaksanaan ujian saringan kit Antigen RTK COVID-19 kepada 26,210 pekerja ladang migran pada Januari 2021 lalu, dengan kerjasama KLMC, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Pihak Berkuasa Tempatan.- MalaysiaGazette