Murid dijaga penjarakan sosial mereka bagi mematuhi SOP pada hari pertama pembukaan sesi persekolahan tadika berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Tadika Tunas Ilmu, Lembah Keramat, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 01 JULAI 2020.

COVID-19 merupakan satu isu pendemik yang amat serius di Malaysia dan di seluruh dunia bermula pada Disember 2019. Pada 26 Ogos 2021, Malaysia telah mencatatkan satu rekod baru untuk kes harian positif Covid-19 yang tertinggi iaitu 24,599 kes. Situasi ini mencetuskan kebimbangan kepada ibu bapa untuk membenarkan anak-anak pergi ke
sekolah secara umumnya. Peningkatan kes ini menunjukkan terdapat sebahagian
masyarakat yang masih tidak mengikuti prosedur pengendalian standard yang telah
ditetapkan oleh kerajaan.

Secara umumnya, virus Covid-19 disebarkan ketika individu saling berhubung rapat di
antara satu dengan yang lain. Dalam usaha untuk mengurangkan penyebaran virus ini,
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menyeru semua penduduk Malaysia
terutamanya yang berada di tempat awam mestilah memakai pelitup muka, sentiasa
membersihkan tangan menggunakan cecair pembasmi kuman dan menjaga penjarakan
sosial.

Menurut kenyataan media yang terkini, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah
bersetuju bagi pembukaan sekolah secara berperingkat supaya pelajar dapat kembali ke
sekolah untuk menjalani Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara bersemuka pada bulan Oktober 2021. Begitu juga dengan pihak Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang akan mula bersedia untuk menerima pelajar-pelajar untuk kembali ke kampus bagi meneruskan pengajian mereka.

Dengan ini, semua pihak berkenaan diharap mampu menyediakan bilangan kelas atau bilik kuliah yang mencukupi dan memastikan penyusunan tempat duduk mengikut jarak sosial yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa. Pada ketika ini, jarak sosial yang diamalkan di tempat awam seperti di Malaysia, China dan Afrika Selatan adalah sekurang-kurangnya 1.0m. Namun, terdapat negara-negara lain yang mempunyai jarak sosial yang berbeza. Contohnya, di Australia ialah 1.5m dan Jepun ialah 1.8m.

Manakala di Brazil, Kanada, United Kingdom dan United States ialah 2 m. Kajian mendapati, jarak sosial ini dapat mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 khususnya di
tempat ruangan yang besar dan mempunyai pengudaraan yang baik. Persoalannya, adakah jarak sosial ini juga boleh mengelakkan risiko jangkitan COVID-19 bagi
bilik darjah atau bilik kuliah dan pada ruangan yang kecil terutamanya di sekolah-sekolah
atau di IPT?

Untuk menjawab persoalan ini, salah satu teknik analisis iaitu pemodelan berasaskan ejen
(Agent-Based Modelling) telah dibangunkan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) untuk
menganalisis penyebaran COVID-19 oleh manusia di dalam ruangan tertutup seperti bilik
kuliah berdasarkan jarak sosial.

Semasa model disimulasikan, pelajar (ejen) akan memasuki bilik kuliah dan duduk di tempat duduk masing-masing. Jarak tempat duduk adalah selari dengan jarak sosial yang telah ditetapkan iaitu 1.0m, 1.5m, 1.8m dan 2.0m. Dalam pemodelan simulasi ini, terdapat beberapa orang pelajar yang dikelaskan sebagai pembawa COVID-19 positif yang akan duduk secara rawak dengan pelajar yang tidak dijangkiti COVID-19.

Model simulasi ini mengambil kira seramai 25 orang pelajar dalam satu bilik kuliah dengan 5 pelajar sebagai pembawa COVID-19 positif dalam tempoh masa 10 minit. Pelajar-pelajar akan berinteraksi di antara satu sama lain berdasarkan pada jarak sosial yang diuji. Hasil kajian awal mendapati bahawa dengan kebarangkalian 2% dijangkiti; menunjukkan bahawa peningkatan 35% kes baru bagi 1.0m jarak sosial, 25% kes baru bagi 1.5 m jarak sosial, 15% kes baru bagi kedua-dua 1.8m dan 2.0m jarak sosial.

Kesimpulannya, pemodelan berasaskan ejen merupakan satu teknik baru yang boleh
digunapakai untuk mengkaji penyebaran virus COVID-19 dari perspektif spatial (ruang) dan masa dengan mengambil kira tingkah-laku manusia. Berdasarkan keputusan kajian awal ini, didapati jarak sosial 1.0m masih memberi risiko yang tinggi semasa pelajar berada di dalam bilik kuliah. Untuk mengurangkan risiko dijangkiti, cadangan jarak sosial yang perlu diamalkan semasa pelajar berada di dalam bilik kuliah adalah sekurang-kurangnya 1.8m.

Walau bagaimanapun, simulasi pemodelan ini boleh ditambah baik dengan memasukkan
lebih banyak faktor seperti dimensi dan bentuk bilik kuliah. Sistem pengudaraan samada
menggunakan kipas angin atau penyaman udara juga boleh dipertimbangkan di dalam pemodelan ini kerana ia memainkan peranan dalam penyebaran virus selain faktor tingkah-laku manusia dalam penggunaan pelitup muka semasa sesi pembelajaran berlangsung.

Di samping itu adalah diharapkan agar semua guru, pensyarah dan pelajar dapat
melengkapkan vaksinasi sebelum sesi persekolahan atau pengajian bermula supaya gejala teruk akibat kesan jangkitan dapat diminimakan dan pelajar dapat meneruskan sesi pembelajaran secara bersemuka dengan lebih selamat.

Gan Wei Xin
Graduan Sarjana Sains Geoinformatik
Fakulti Alam Bina dan Ukur,
Universiti Teknologi Malaysia

Dr. Shahabuddin Amerudin,
Pensyarah Kanan Program Geoinformasi,
Fakulti Alam Bina dan Ukur,
Universiti Teknologi Malaysia