Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bercakap pada sidang media khas di Wisma Pertahanan, Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 15 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (Mindef) sedia menghulurkan kerjasama dalam membantu kelancaran pembukaan sesi persekolahan di seluruh negara termasuk sekolah di kem-kem Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein berkata, kerjasama itu meliputi empat konteks iaitu persiapan sebelum pembukaan sekolah, melancarkan pemberian vaksin kepada pelajar termasuk anak-anak warga ATM, penyediaan kit ujian Covid-19 dan memperkasa pusat tuisyen dalam kem ATM.

“Mindef, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa bergerak seiring dan saling memahami perancangan masing-masing terutama mengambil kira sesi persekolahan yang akan bermula secara berperingkat mengikut fasa-fasa PPN (Pelan Pemulihan Negara).

“ATM sedia mengatur gerak anggota untuk membantu guru serta kakitangan KPM dalam membuat susun atur meja dalam bilik darjah dan bilik guru mengikut SOP yang ditetapkan serta membersihkan kawasan sekolah yang telah sekian lama tidak digunakan.

“ATM melalui Kor Kesihatan Diraja sentiasa bersedia untuk mengatur gerak bila-bila masa bagi membantu KKM memberi vaksin kepada semua pelajar berkenaan…ini termasuk melalui team Combat Media Vaccination Team (CMVT) mahupun membuka stesen pemberian vaksin pandu lalu,” katanya pada sidang media bersama Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Hishamuddin berkata, seramai 1,990 atau lebih 90 peratus guru-guru yang akan mengajar di semua sekolah dalam kem-kem ATM telahpun menerima vaksinasi lengkap.

Katanya, ia merupakan perkembangan baik dalam konteks kesihatan menjelang permulaan sesi pembelajaran secara bersemuka antara guru dan murid-murid di beberapa buah negeri tidak lama lagi.

Beliau turut menzahirkan penghargaaan kepada guru-guru berkenaan kerana bukan sahaja menerima baik vaksin sebagai salah satu usaha melawan virus Covid-19, malah telah banyak menabur jasa dan bakti demi kecemerlangan pendidikan anak-anak warga ATM.

“Saya amat memahami keprihatinan dan kesungguhan ibu bapa dalam usaha memberikan pendidikan yang terbaik untuk anak-anak mereka.

“Namun, realitinya hari ini, landskap pendidikan telah berubah susulan penularan pandemik Covid-19…yang paling jelas ia telah memberi kesan terhadap sesi pengajaran dan pembelajaran.

“Kebanyakan masa dalam setahun ini terpaksa dilakukan secara atas talian, turut menerima kesannya adalah anak-anak warga ATM sendiri,” ujarnya. – MalaysiaGazette