Polis dan forensik menjalankan siasatan di lokasi wanita warga China disamun di Tanjong Tokong, Pulau Pinang pada Ahad lalu.

GEORGE TOWN – Polis masih menjalankan siasatan berhubung insiden seorang wanita warga China dakwa dirogol dan cedera akibat disamun dalam satu kejadian di Tanjong Tokong di sini, pada Ahad lalu.

Dalam kejadian jam 7.30 malam itu, mangsa berusia 24 tahun itu dikatakan sedang melakukan rutin hariannya dengan berjoging di kawasan berhampiran tempat tinggalnya.

Difahamkan, mangsa yang tidak bekerja itu menetap di sini bersama kekasihnya.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pihak polis terima laporan kejadian daripada mangsa pada Isnin lalu.

Soffian Santong.

“Hasil siasatan awal mangsa mendakwa ketika berjalan seorang diri tiba-tiba dirasa dipukul dari arah belakang sebelum terjatuh dan pengsan.

“Dia mengalami kecederaan pada muka dan dirawat sebagai pesakit luar di hospital sebelum dibenarkan pulang.

“Berhubung dakwaan mangsa dirogol, hasil pemeriksaan doktor tidak menjumpai sebarang kesan koyakkan baharu pada dan setakat ini, hanya telefon bimbit mangsa saja dilaporkan hilang,” katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di sini, hari ini.

Tambah Soffian, polis telah mengesan dua saksi awam yang melihat mangsa berjalan di kawasan tersebut dan siasatan lanjut berhubung kes ini masih dijalankan.

“Kita minta orang awam jangan buat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu samun mendatangkan kecederaan,” jelas Soffian.