Armin Baniaz Pahamin (tengah)

 

KUALA LUMPUR – Kenyataan Kementerian Kewangan semalam membuktikan kerajaan mempunyai kuasa untuk mengarahkan institusi bank untuk bukan sahaja menawarkan moratorium tetapi juga dengan melaksanakan moratorium tanpa faedah.

Sedangkan sejak bulan Mac 2020 ketika negara ini dilanda krisis pandemik Covid-19, berbagai-bagai memorandum dan cadangan telah dikemukakan oleh berbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), gabungan dewan-dewan perniagaan dan parti-parti politik termasuk cadangan menggunakan ordinan darurat untuk menawarkan moratorium tanpa faedah tetapi kerajaan tidak mempertimbangkan cadangan tersebut dengan alasan mereka tiada kuasa.

Bagaimanapun, Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) menyifatkan mengecualikan pembayaran faedah ke atas penerima moratorium untuk tiga bulan sahaja dalam suku ke empat tahun ini sebagai menepati perjanjian persefahaman kerajaan bersama Pakatan Harapan.

Ini bermakna kerajaan memang tidak ada niat untuk membantu rakyat dan perniagaan tetapi lebih mengutamakan hubungan politik dan mempertaruhkan masa depan rakyat dan kelangsungan perniagaan untuk memperkukuhkan pengaruh politik.

Ahli Majlis Eksekutif Pusat Pejuang, Armin Baniaz Pahamin berkata, moratorium pinjaman bukanlah satu kemudahan atau kemewahan yang patut di bahaskan dan dipertikaikan sebaliknya satu solusi untuk membantu rakyat dan perniagaan yang sekarang tengah tenat dan berdepan dengan bankrap.

Faedah perlu dikecualikan kepada semua penerima moratorium dan tidak patut dihadkan kepada tiga bulan sahaja.

Moratorium dan pengecualian faedah tidak akan menjurus kepada kebankrapan institusi bank tetapi ia adalah talian hayat terakhir rakyat dan perniagaan sebelum mereka tergolong dalam pinjaman tidak berbayar (NPL) dan kemudiannya dibangkrapkan.

Buktinya, kata beliau, untuk suku pertama 2021, Maybank mencatatkan kenaikan untung 16.7%, RHB 13.9%, AMBank 5.9%, Hong Leong Bank 14% dan Public Bank 15.1%.

Malah tiada bank yang catat kerugian pada tahun 2020 semasa moratorium pertama di laksanakan.

Selain itu, Jemaah Menteri juga telah meluluskan cadangan untuk membentangkan perubahan kepada Akta Langkah Sementara Bagi Kewangan Kerajaan (Covid-19) 2020 untuk menaikkan had siling dana Covid-19 dan menaikkan had berkanun hutang kerajaan persekutuan dan salah satu dari sasarannya ialah untuk menyokong kelangsungan perniagaan.

Kelangsungan perniagaan boleh dibaikpulih dengan moratorium pinjaman tanpa faedah dan moratorium ini perlu diberi secara menyeluruh termasuk pajakan, fasiliti-fasiliti bank, pinjaman dari peminjam wang berlesen dan pinjaman dari syarikat kredit dan lain-lainnya untuk individu dan juga perniagaan.

Jelas beliau, moratorium yang dicadangkan itu tidak menjejas kewangan dan jumlah hutang kerajaan tetapi memberi impak yang amat besar kepada rakyat dan terhadap ekosistem perniagaan.

Oleh itu, katanya, Pejuang berharap kerajaan dapat memahami masalah rakyat, perniagaan dan dapat menawarkan moratorium tanpa faedah kepada semua penerima moratorium untuk sepanjang tempoh moratorium dan bukan hanya tiga bulan. – MalaysiaGazette