Agong Al-Sultan Abdullah Ismail Sabri Yaakob majority support Members of Parliament MPs Prime Minister PM
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima buku titah Diraja yang disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 13 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Harapan Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung memorandum persefahaman (MoU) kerjasama rentas parti dilihat dapat menghapuskan spekulasi politik.

Ahli Parlimen Rompin (BN), Datuk Seri Hasan Arifin berkata, spekulasi politik masih digunakan pihak tertentu untuk mengeruhkan suasana dalam negara.

Dalam masa yang sama, Hasan berpendirian kenyataan YDPA itu merupakan permulaan untuk kerajaan baharu melangkah ke hadapan, sekali gus melengkapkan proses kestabilan politik.

“Maka dengan kenyataan dari Istana Negara melengkapkan satu proses kestabilan politik yang membolehkan Perdana Menteri dan kita semua rakan Ahli Parlimen dapat membentuk suatu dasar yang penting untuk kebaikan rakyat

“Inilah demokrasi terpimpin berlandaskan latar belakang senario politik selepas PRU-14, kita rakyat Malaysia yang pelbagai agama dan bangsa yang mudah diracuni, dihasut oleh pelbagai pihak untuk mengeruhkan suasana kestabilan politik dalam negara maka peristiwa pelantikan PM berikutannya titah nasihat YDPA dan perjanjian MoU melengkapkan proses untuk kita move forward (ke hadapan),” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menyatakan demikian ketika membahaskan titah ucapan YDPA pada Pembukaan Penggal Keempat Parlimen Ke-14 Isnin lalu.

Kata Hasan, kestabilan politik akan memanfaatkan pelbagai aspek bermula dengan keyakinan pelabur asing seterusnya rakyat akan menikmati impak positif terhadap pemulihan ekonomi negara.

“Kestabilan politik boleh membentuk satu polisi yang pasti. Kalau sesuatu dasar itu tidak boleh dijangka oleh rakyat, ahli perniagaan yang bersifat tidak pasti, sukar negara itu untuk bergerak ke arah lebih baik kalau tidak ada kestabilan maka tidak ada keyakinan pengguna.

“Kalau tidak ada keyakinan pelabur tidak ada dan ekonomi tidak berkembang dan akhirnya yg mendapat musibah adalah rakyat jelata,” ujarnya.

Berdasarkan pengalaman pergolakan politik dalam negara yang mencetuskan ketidakstabilan menyebabkan Perdana Menteri sebanyak tiga kali selepas pilihan raya lalu, Hasan berharap para pengundi khususnya dalam kalangan mereka yang berusia 18 tahun akan membuat pilihan bijak dan matang.

Jelasnya, negara memerlukan kematangan pengundi muda untuk mengelakkan sejarah pergolakan politik berulang.

“Sepatutnya rentetan sejarah PRU-14, pergolakan politik, pertukaran Perdana Menteri dalam masa tidak sampai habis penggal cukup mematangkan rakyat bila mereka membuat pilihan dalam pilihan raya.

“Jangan ambil mudah apatah lagi saya menyeru kepada anak-anak yang akan diberikan peluang mengundi pada usia sangat muda walaupun umur muda tapi kita perlukan kematangan mereka bila menjelang PRU-15 jangan berlaku lagi satu keputudan pilihan raya yang menyebabkan tidak waujud kestabilan politik dalam negara,” tambah beliau. – MalaysiaGazette