SEBERANG PERAI – Dua lelaki warga asing yang terlibat dalam pelbagai kes jenayah di Pulau Pinang ditembak mati dalam satu kejadian berhampiran Bukit Mengkuang, Kubang Semang di sini, hari ini.

Kejadian berlaku pada jam 5.50 pagi ketika pihak polis mengesan kereta jenis Proton Waja berwarna kelabu yang dinaiki dua suspek dari Jalan Penanti sebelum mengarahkan mereka memberhentikan kenderaan.

Bagaimanapun, suspek bertindak memecut laju kereta tersebut sebelum berhenti di kawasan semak di bukit berkenaan.

Pihak forensik sedang menjalankan siasatan di lokasi kejadian.

Susulan itu, suspek di bahagian penumpang hadapan keluar dan terus melepaskan dua das tembakan ke arah pihak polis manakala pemandu pula, menyerang menggunakan parang.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kedua-dua suspek bertindak agresif dan bagi mempertahankan diri pihak polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan menyebabkan kedua-dua suspek terbunuh dalam kejadian berbalas tembakan itu.

Jelas beliau, tiada anggota cedera dalam kejadian tersebut namun tembakan yang dilepaskan suspek terkena pada bahagian cermin sisi kereta yang dinaiki pihak polis.

Mohd Shuhaily.

Mohd Shuhaily berkata, kedua-dua suspek yang dianggarkan berusia lingkungan 30 hingga 40an itu menjadi buruan polis susulan terlibat dalam kes ugutan dengan melepaskan tembakan di Bukit Mertajam pada 12 September lalu.

“Menerusi Ops Api Siakap kita berjaya mengesan suspek namun dalam kejadian berbalas tembakan kedua-dua disahkan maut di lokasi kejadian.

“Hasil pemeriksaan ke atas kereta dinaiki mereka, pihak polis menemui dadah jenis heroin serta pelbagai peralatan pecah rumah di bahagian but.

Antara senjata milik suspek yang dirampas polis.

“Turut dirampas sepucuk pistol berisi enam butir peluru serta parang yang digunakan suspek dalam kejadian itu,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Shuhaily berkata, identiti kedua-dua suspek itu belum dikenal pasti ekoran tiada sebarang dokumen pengenalan diri bersama mereka.

“Semakan lanjut juga mendapati kereta yang dinaiki mereka dilaporkan hilang pada 29 Ogos tahun lalu bersangkut laporan di Sungai Petani, Kedah.

Mayat kedua-dua suspek dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk proses bedah siasat.

“Mayat kedua-dua suspek dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” ujar Mohd Shuhaily. – MalaysiaGazette