Orang ramai menunaikan solat Jumaat mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan penjarakan fizikal selepas kerajaan membenarkan hanya 300 jemaah sahaja dalam tempoh Fasa Satu Kawalan Pergerakan, Pelan Pemulihan Negara (PPN) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 09 JULAI 2021. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) mengeluarkan ketetapan baharu bilangan jemaah solat fardu lima waktu dan solat Jumaat di semua masjid dan surau di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan berkuatkuasa esok.

Kebenaran itu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan berdasarkan pelaksanaan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi aktiviti ibadat di masjid dan surau.

Pengarahnya, Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, bagi Kuala Lumpur dan Putrajaya, seramai 500 orang dibenarkan menunaikan solat Jumaat manakala solat fardu dihadkan kepada 200 jemaah di samping tujuh masjid zon dan masjid kariah dibolehkan 250 orang bagi solat jumaat dan 100 orang pula adalah solat fardu.

“Seramai 150 orang bilangan jemaah dibenarkan untuk Surau Jumaat dan 50 untuk solat fardu. Selain itu, Surau Diberi Kebenaran khas untuk mendirikan solat Jumaat dibenarkan seramai 100 orang untuk solat Jumaat namun hanya 50 untuk solat fardu.

“Bilangan solat fardu dan Jumaat di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pula adalah seramai 80 jemaah untuk solat Jumaat dan 40 jemaah untuk solat fardhu.

“Kuliah dan tazkirah dibenarkan dengan kehadiran tidak melebihi bilangan jemaah solat Jumaat bagi tazkirah sebelum solat Jumaat dan tidak melebihi jemaah solat fardu bagi kuliah yang lain dengan penjarakan fizikal 1.5 meter,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, bagi Labuan yang telah memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN), Mohd Ajib menjelaskan, bilangan jemaah bagi solat Jumaat di seluruh wilayah itu dibenarkan mengisi jemaah sehingga separuh kapasiti sebenar.

Menurut beliau, pihaknya turut menetapkan bilangan jemaah bagi solat fardu pula dibenarkan mengikut kapasiti dewan solat utama dengan penjarakan sosial 1.5 meter.

“Kuliah dan tazkirah dibenarkan dengan kehadiran tidak melebihi bilangan jemaah solat Jumaat bagi tazkirah sebelum solat Jumaat dan tidak melebihi jemaah solat fardu bagi kuliah yang lain dengan penjarakan fizikal yang telah ditetapkan.

“Semua ketetapan tersebut adalah tertakluk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah dikeluarkan. Semoga umat Islam khususnya di Wilayah-Wilayah Persekutuan terus mematuhi SOP yang telah ditetapkan,” ujarnya. – MalaysiaGazette