KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia yang sedang mencari kerja dinasihatkan merebut peluang kerja bagi mengisi keperluan tenaga buruh asing dalam pelbagai sektor.

Anak muda tempatan khususnya disarankan agar tidak sentiasa memilih kerjaya ketika negara masih dalam pandemik Covid-19.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan berkata, kekurangan pekerja asing di negara ini amat kritikal disebabkan Covid-19 dan penghantaran pulang menerusi Program Rekalibrasi oleh Jabatan Imigresen.

“Kalau saya pergi ke mana-mana ada sahaja sahaja yang memaklumkan tenaga kerja asing kritikal sekarang ini.

“Bayangkan dari Januari 2021 hingga hari ini sebanyak 1.5 juta peluang pekerjaan masih wujud dan belum diisi lagi.

“Sementara dalam skim Myfuture Job, 212,000 peluang kerjaya perlu diisi lagi,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau berkata demikian selepas hadir merasmikan sebuah restoran makanan Bistro Daun Pisang Nattamai di Little India Brickfields di sini tengahari tadi.

Saravanan berkata, malangnya, anak tempatan tak mahu merebut peluang ini.

“Jadi apabila orang tempatan tak berminat dan enggan mengambil peluang pekerjaan yang kosong begitu banyak, maka kerajaan tidak ada pilihan selain terpaksa ambil pekerja asing,” ujarnya.

Tetapi, katanya, sehingga kini kerajaan masih belum boleh membuka pengambilan pekerja asing ekoran penutupan sempadan bagi mengekang penularan Covid-19.

Tambah beliau, situasi itu telah mengakibatkan sektor perladangan, perkhidmatan tenat, pertanian dan hampir semua sektor yang berkait dengan tenaga kerja asing semakin kritikal akibat kekurangan pekerja.

“Saya pun tak tahulah sampai bila pengambilan pekerja asing perlu ditangguhkan.

“Lagipun saya sebenarnya hendak memberikan keutamaan kepada orang tempatan kita untuk mengisi kekosongan pekerjaan di sektor-sektor termasuk perladangan.

“Cuma sambutan pekerja tempatan sangat menyedihkan.
Anak tempatan kita tidak berminat menggantikan pekerja asing..dan jika trend ini berterusan, kita tidak boleh biarkan keadaan berlarutan,” ujarnya.

Ini kerana banyak kedai terpaksa mengulung tikar nanti sebab tiada pekerja.

“Jadi kepada anak-anak tempatan yang sedang menganggur, janganlah memilih.. sila rebut apa sahaja kerja yang ada sekarang,” tambahnya. – MalaysiaGazette