HULU SELANGOR – Individu yang telah menerima dos pertama di pusat pemberian vaksin (PPV) di Hulu Selangor dan Kuala Selangor yang telah ditutup boleh mendapatkan dos kedua di beberapa klinik terpilih.

Dos kedua boleh diperolehi di Klinik SP Care Antara Gapi, Hulu Selangor dan Poliklinik Medi Ihsan di Kuala Selangor.

Menurut Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) dos kedua ini boleh dilakukan secara terus.

“Orang ramai dinasihatkan untuk mengikuti pengumuman yang dibuat oleh Jabatan Kesihatan negeri masing-masing untuk maklumat terkini berhubung inisiatif vaksinasi jumpa terus di negeri masing-masing,” katanya dalam kenyataan.

PPV SP Care bagi dos kedua warga masyarakat Hulu Selangor.

CITF berjata, hanya lima PPV di Lembah Klang dibenar melaksanakan program vaksinasi Covid-19 secara jumpa terus bermula hari ini hingga 30 September depan.

Kelima-lima PPV itu ialah Bangi Avenue Convention Centre (BACC) di Bangi; Universiti Multimedia (MMU), Cyberjaya; Axiata Arena, Bukit Jalil; Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute (UniKL British BMI), Gombak dan Ideal Convention Centre (IDCC) di Shah Alam.

Jelas CITF, pendekatan cepat berhasil bagi mengoptimumkan sumber dengan membenarkan vaksinasi di kelima-lima PPV itu berikutan jumlah kehadiran yang rendah bagi mendapatkan suntikan vaksin secara jumpa terus di PPV sekitar Lembah Klang.

Pelajar institut pengajian tinggi di sekitar Lembah Klang juga boleh mendapatkan suntikan vaksin di kelima-lima PPV, ujarnya.

Pada 8 September lalu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, program vaksinasi Covid-19 secara jumpa terus di PPV sekitar Lembah Klang akan dihentikan selepas 15 September.

Dr Adham Baba

Menurut CITF, sehingga tarikh itu, terdapat 13 PPV yang masih beroperasi di Lembah Klang manakala 38 PPV bukan kesihatan telah ditutup setakat 14 September lalu.

“Kita buat penutupan setelah meneliti data kadar penduduk Lembah Klang yang masih belum divaksinasi dan kadar kehadiran yang rendah di PPV.

“CITF juga akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Kementerian Kesihatan bagi penglibatan ProtectHealth Corp Sdn Bhd (ProtectHealth) untuk inisiatif jumpa terus bagi populasi dewasa warga Malaysia di klinik pengamal perubatan swasta am di Lembah Klang,” jelasnya.

ProtectHealth dijangka menawarkan perkhidmatan klinik perubatan swasta yang terpilih untuk vaksinasi jumpa terus bagi warga negara mulai 1 Oktober ini. -MalaysiaGazette