Hishammuddin Hussein Kelantan Sarawak Phase 4 PPN National Recovery Plan
Hishammuddin Hussein

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen (JIM) telah diarahkan untuk mengkaji semula kategori permohonan MyTravelPass.

Menteri Kanan Pertahanan (Keselamatan) Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik semalam telah membincangkan maklum balas dan pandangan orang ramai berhubung program MyTravelPass di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan dikendalikan oleh JIM.

Susulan perbincangan berkenaan, Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah meminta JIM supaya mengkaji semula kategori-kategori permohonan yang boleh diberi kebenaran terus tanpa perlu memohon kelulusan melalui MyTravelPass.

“Jabatan Imigresen akan membentangkan cadangan berkenaan kepada Jawatankuasa Teknikal Covid-19 MKN hasil dapatan kajian tersebut,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Dalam pada itu, kata beliau, dari 7 Oktober 2020 hingga 10 September 2021, JIM telah menerima sebanyak 356,510 permohonan dan sebanyak 208,509 daripadanya telah diluluskan.

Daripada jumlah itu, sebanyak 127,465 permohonan telah ditolak manakala 6,697 permohonan lagi dibatalkan sendiri oleh pemohon.

Sementara 13,000 permohonan lagi sedang diproses oleh tiga task force.

“Berdasarkan makluman daripada Jabatan Imigresen, terdapat empat faktor yang boleh menyebabkan permohonan ditolak iaitu pertama nama berada dalam senarai syak oleh JIM, kedua dokumen tidak lengkap, ketiga adalah dokumen yang dimuatnaik tidak boleh dibaca dan keempat dokumen telah dipalsukan.

“Sekali lagi diingatkan, mana-mana permohonan melalui MyTravelPass haruslah dibuat 14 hari sebelum hari jangkaan untuk berlepas dan permohonan tersebut perlu dibuat secara atas talian di portal berikut: (https://mtp.imi.gov.my),” ujar beliau.

Mengenai isu beberapa syarikat penerbangan yang meletakkan syarat supaya penumpang menunjukkan MyTravelPass walaupun mereka berada dalam kategori yang tidak perlu membuat permohonan, Hishammuddin menegaskan syarikat-syarikat berkenaan tidak sepatutnya berbuat sedemikian.

“Saya telah minta Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong untuk memaklumkan kepada syarikat-syarikat berkenaan agar mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.

“Sementara itu, kita menyediakan kategori-kategori yang perlu dan tidak perlu memohon kelulusan melalui MyTravelPass seperti yang telah dijelaskan beberapa kali oleh JIM sebelum ini,” ujarnya.

Setiap individu yang perlu memohon MyTravelPass adalah warganegara yang baru mendapat tawaran bekerja atau belajar di luar negara; pelajar yang ingin menduduki peperiksaan di luar negara; menghadiri mesyuarat atau seminar atau urusan perniagaan di luar negara; menyertai pameran atau pertandingan sukan serta latihan di luar negara dengan mengemukakan surat sokongan daripada Agensi kawal selia.

Urusan kecemasan ahli keluarga terdekat (kematian atau ahli keluarga ditimpa kemalangan atau sakit); pemegang Visa Pasangan atau Tunangan (perkahwinan yang tidak didaftarkan secara sah); menyertai misi bantuan kemanusiaan, keagamaan dengan mengemukakan surat kelulusan yang telah diperoleh daripada Jawatankuasa Bersama JPM serta dokumen sokongan lain yang berkaitan.

Kategori yang tidak perlu memohon kelulusan adalah diplomat dan pegawai Kedutaan Malaysia yang akan atau kembali bertugas di luar negara termasuk tanggungan masing-masing; pelajar dan tanggungan yang meneruskan pengajian dengan syarat memiliki visa pelajar atau visa tanggungan yang sah; pemegang Pas Jangka Panjang di luar Negara (Pemastautin Tetap atau Pas Residen atau Pas Kerja dan lain-lain); bekerja dengan syarikat petroleum dan syarikat perkapalan yang perlu sign-on ke atas kapal di luar negara.

Selain itu, mengiringi pelajar ke luar negara bagi tujuan belajar dan terhad kepada dua orang pengiring sahaja manakala pengiring perlu melakukan perjalanan keluar bersama-sama pelajar pada masa yang sama.-MalaysiaGazette