Sungai Felda Jengka 4. foto: Bomba Pahang

KUANTAN – Seorang kanak-kanak berusia setahun lapan bulan dikhuatiri lemas selepas dipercayai keluar dari kereta bapanya yang diparkir berhampiran sungai Felda Jengka 4, dekat Maran, tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Maran, DSP Norzamri Abd Rahman berkata, Muhammad Abdullah Saiful Bahari disedari tiada di tempat duduk kereta tersebut pada 1 tengah hari, iaitu kira-kira 15 minit selepas bapanya meninggalkan dia berseorangan di situ.

“Bapa mangsa (Muhammad Abdullah) mendakwa meninggalkan mangsa di dalam kereta dengan keadaan pintu terbuka. Sebaik sahaja menyedari mangsa tiada, bapa mangsa telah bertanya kepada kakak dan abang mangsa yang berusia enam serta lapan tahun, namun mereka juga tidak menyedari bila mangsa berjalan keluar dari kereta.

“Mereka cuba mencari mangsa di kawasan berhampiran sebelum bapa mangsa mendakwa menjumpai kesan tapak kaki kanak-kanak di tepi sungai menyebabkan bapa mangsa mengesyaki anaknya terjatuh di situ,” katanya semasa dihubungi hari ini.

Norzamri berkata, sungai itu terletak di dalam ladang kelapa sawit, kira-kira tiga kilometer dari jalan utama.

Beliau berkata, bapa mangsa kemudian meminta bantuan orang kampung untuk mencari anaknya di sungai, sebelum pihak polis dimaklumkan mengenai kejadian pada 4 petang.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan pada petang semalam melibatkan polis, bomba dan Jabatan Sukarelawan Malaysia namun dihentikan pada 8 malam kerana cuaca mulai gelap.

“Operasi SAR bersambung pagi ini dengan melibatkan anjing pengesan untuk mencari jejak akhir mangsa sama ada di sungai atau di hutan berhampiran,” katanya. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast