Mayat adik Muhammad Abdullah Saiful Bahari yang dikhuatiri lemas di sungai di Felda Jengka 4 ditemui dalam operasi mencari dan menyelamat pada jam 10.37 pagi tadi.

KUANTAN –  Mayat seorang kanak-kanak yang dikhuatiri lemas di sebuah sungai di Felda Jengka 4, Maran semalam, sudah ditemui pagi tadi.

Komander Operasi, PgKB II Mohd Sabree Mohd Salleh berkata, mayat kanak-kanak berusia dua tahun itu ditemui dalam jarak satu kilometer dari tempat dia  dilaporkan hilang.

Menurut beliau, operasi mencari dimulakan pada jam 8 pagi tadi dan mangsa ditemui pada pukul 10.37 pagi.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan pada petang semalam melibatkan polis, bomba dan Jabatan Sukarelawan Malaysia bersama orang kampung namun dihentikan pada 8 malam kerana cuaca mulai gelap.

Mangsa dipercayai lemas selepas keluar dari kereta bapanya yang diparkir berhampiran sungai Felda Jengka 4, dekat Maran, tengah hari semalam.

Difahamkan, mangsa Muhammad Abdullah Saiful Bahari disedari tiada di tempat duduk kereta tersebut pada 1 tengah hari, iaitu kira-kira 15 minit selepas bapanya meninggalkan beliau berseorangan di situ.

Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis. MalaysiaGazette