Pelancaran peluru berpandu dari kereta api dilakukan beberapa hari selepas Korea Utara menguji peluru berpandu jarak jauh yang baharu dibangunkannya. foto: Twitter

SEOUL – Korea Utara melakukan ujian pelancaran peluru berpandu yang dibawa kereta api pada awal hari ini.

Ia mengesahkan pelancaran dua peluru berpandu balistik jarak dekat ke Laut Timur.

“Regimen peluru berpandu yang dibawa kereta api mengambil bahagian dalam ujian dengan misi untuk menyerang kawasan sasaran 800 kilometer dari lokasi selepas bergerak ke kawasan tengah bergunung pada waktu subuh 15 September,” kata pegawai Korean Central News Agency (KCNA) seperti dipetik agensi berita, Yonhap.

KCNA berkata, peluru berpandu itu mengenai sasaran di Laut Timur.

Peluru berpandu tersebut dilihat dilancarkan dari sebuah kereta api, menurut gambar yang disiarkan agensi berita milik kerajaan itu.

Pelancaran tersebut dilakukan beberapa hari selepas Korea Utara menguji peluru berpandu jarak jauh yang baharu dibangunkannya.

Menurut KCNA, ujian tersebut dilakukan bagi ‘meningkatkan keupayaan menangani ancaman ketenteraan intensif serentak yang dilakukan terhadap kami pada waktu pelaksanaan operasi ketenteraan yang diperlukan’.

Ujian pelancaran itu turut mengesahkan ‘kewajaran kerahan sistem peluru berpandu yang dibawa kereta api untuk tindakan kali pertama’ bagi menilai siap siaga dan untuk ‘mencapai kecekapan jika berlaku peperangan sebenar’.

Di bawah resolusi Majlis Keelamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Korea Utara tidak dibenarkan melakukan aktiviti peluru berpandu balistik. – Agensindu