Foto: Facebook

LAHORE – Pasukan bola sepak remaja wanita Afghanistan telah menyeberangi sempadan Pakistan.

Mereka menghabiskan masa pada bulan lalu bersembunyi kerana bimbang dengan tindakan keras ke atas hak wanita yang dilaksanakan Taliban.

Pemain bola sepak wanita terbang keluar dari Kabul pada minggu lalu namun pasukan remaja dilaporkan terkandas kerana tidak mempunyai pasport dan dokumen lain.

Sebahagian besar pemain dan ahli keluarga memiliki visa selepas Pakistan melobi ‘Football for Peace’.

Seorang pegawai Persekutuan Bola Sepak Pakistan berkata, kumpulan berjumlah 81 orang itu akan ditempatkan di ibu pejabat persekutuan itu di Lahore.

Seramai 34 orang lagi akan tiba hari ini, lapor BBC.

Pemain tersebut akan dikawal ketat di Pakistan selama 30 hari sebelum memohon suaka di negara membangun, kata pegawai itu.

Baru-baru ini, akhbar The Independent mendedahkan pemain tersebut telah menulis surat kepada Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan memohon kebenaran untuk memasuki negara tersebut dengan segera.

Surat tersebut mendakwa remaja berkenaan menghadapi risiko ‘ancaman maut’ daripada Taliban.

Selepas Kabul jatuh di tangan Taliban pada bulan lalu, para pemain diberi amaran oleh bekas kapten pasukan kebangsaan, Khalida Popal untuk memadamkan gambar mereka bermain di laman media sosial dan membakar peralatan sukan bagi melindungi diri daripada potensi tindak balas rejim baharu – Agensi