Polis menahan suspek bersembunyi dalam kawasan tanaman USM, Bukit Gambir di sini, hari ini.

GEORGE TOWN -Seorang lelaki bersenjatakan dua bilah sabit yang mengganggu orang awam sebelum bersembunyi di dalam kawasan hutan berhampiran Universiti Sains Malaysia (USM), Bukit Gambir berjaya ditahan polis hari ini.

Suspek berusia 53 tahun itu dilaporkan bersembunyi hampir 12 jam di dalam hutan berkenaan selepas pihak polis cuba memberkasnya susulan mengganggu pengguna jalan raya di Jalan Ketitir, Sungai Dua pada jam 11 malam semalam.

Tiada individu mengalami kecederaan atau harta benda awam yang rosak dalam kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, suspek ditahan bersembunyi dalam kawasan tanaman USM pada jam 11.40 pagi tadi selepas operasi pencarian dilakukan dengan bantuan pihak bomba.

“Operasi pencarian pertama dilakukan malam tadi sebelum dihentikan jam 2 pagi ekoran keadaan gelap dan berisiko kepada pasukan penyelamat

“Sambungan pencarian dilakukan jam 10 pagi tadi dan suspek berjaya dikesan 10 minit kemudian di kawasan kabin tanaman milik USM.

“Polis turut merampas dua bilah sabit yang dibawa suspek untuk mengganggu penduduk setempat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tambah Soffian, hasil semakan lanjut mendapati suspek mempunyai 10 rekod lampau membabitkan sembilan kes dadah dan satu jenayah.

“Saringan ujian air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis heroin.

“Siasatan lanjut juga masih dijalankan bagi mengenal pasti punca suspek
bertindak demikian dan lelaki terbabit juga akan dirujuk ke hospital bagi menjalani rawatan termasuk penilaian tahap kesihatan mental,” kata beliau.

Permohonan reman ke atas suspek akan dibuat pada esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Senjata Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata
Berbahaya 1958. – MalaysiaGazette