Mohd Khalid Harun

KUALA LUMPUR – Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) mencadangkan satu jawatankuasa khas perlu dibentuk di antara badan-badan bukan kerajaan (NGO) pelancongan dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) di Langkawi yang akan mengkaji dan memberi maklum balas bagi tujuan memperbaiki kekurangan serta mutu perkhidmatan bagi projek perintis gelembungan pelancongan di pulau ini.

Presidennya, Datuk Mohd Khalid Harun yang menjadi peserta projek ini berkata, beliau mendapati sepanjang perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi ke tempat penginapan, Pulau Langkawi ini seolah-olah belum lagi bersedia menerima kemasukan pelancong.

Dengan landskap yang tidak dijaga rapi kerana rumput yang panjang dan daun-daun kering yang berguguran di sepanjang jalan, sedikit sebanyak mencacatkan pandangan pelancong.

Sebagai pulau pelancongan ini perlu dititik beratkan bagi mengamit lebih ramai pelancong dengan menonjolkan kebersihan serta lanskap yang indah dan bertaraf dunia.

“Dari segi tempat penginapan pula, saya ingin menyarankan agar mereka lebih bersedia untuk menerima tetamu mereka dengan menyediakan minuman selamat datang, penyambut tetamu yang lengkap berseragam dan kesungguhan mereka menerima tetamu di dalam projek perintis ini.

”Hari ini adalah hari yang pertama bagi projek perintis gelembung pelancongan domestik, maka saya percaya maklum balas yang saya berikan ini akan disambut dengan hati yang terbuka oleh setiap pemain industri pelancongan di Langkawi serta dapat memperbaiki segala kekurangan yang ada ketika ini,” ujarnya.

Mohd Khalid berkata, sebagai individu yang menyertai projek ini, beliau mengambil peluang meninjau dengan lebih dekat mengenai prosedur dan tatacara gelembung pelancongan domestik.

“Semasa di lapangan terbang KLIA, saya terpaksa melalui proses saringan kesihatan Covid-19 RTK yang hanya dimaklumkam pada lewat petang semalam.

”Ini sedikit sebanyak telah melambatkan proses daftar masuk penumpang ke pesawat. Berdasarkan tinjauan saya,proses saringan Covid-19 RTK perlu diperkemaskan dan sentiasa siapsiaga bagi menerima penumpang yang akan berlepas ke Langkawi bagi tujuan pelancongan.

“Setiap penumpang ke Langkawi bagi tujuan pelancongan hendaklah menyediakan bukti tempat penginapan yang telah ditempah. Bagi tujuan selain daripada pelancongan, permit rentas negeri diperlukan semasa
daftar masuk penumpang.

”Jika tanpa bukti ini, anda tidak akan dibenarkan meneruskan penerbangan anda ke Langkawi.

”Semasa ketibaan di Lanpangan Terbang Antarabangsa Langkawi, penumpang sekali lagi diminta menyediakan bukti keputusan saringan Covid-19 RTK, tempat penginapan dan status MySejahtera. Jadi anda hendaklah memastikan bateri telefon bimbit sentiasa penuh bagi menunjukkan status kesihatan,” tambah beliau. – MalaysiaGazette