Mayat warga emas wanita yang maut akibat terperangkap dalam kejadian tanah runtuh di Sungai Palas menghala ke jalan utama Brinchang dalam kejadian petang tadi dibawa keluar oleh pihak bomba.

KUANTAN – Seorang warga emas wanita maut selepas terperangkap dalam kejadian tanah runtuh di Sungai Palas, menghala ke jalan utama Brinchang, Cameron Highlands dalam kejadian petang tadi.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, PPgB Zulraime Seman  menerusi kenyataan media berkata, kejadian tanah runtuh beserta lumpur itu berlaku akibat hujan lebat di Sungai Palas.

Tambahnya, anggota Balai Bomba dan Penyelamat Cameron Highland bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan pada pukul 3.30 petang.

Kejadian tanah runtuh berlaku pada pukul 3.30 petang tadi

“Akibat kejadian itu dipercayai seorang warga emas terperangkap di dalam runtuhan dengan anggaran kedalaman satu meter.

“Kejadian telah meruntuhkan sebuah rumah kediaman jenis separuh kekal berukuran 20 kaki x 40 kaki persegi disebabkan runtuhan tanah dan aliran lumpur serta pokok tumbang.

“Seorang warga emas dipercayai telah tertimbus dalam kejadian tersebut dan operasi mencari dan menyelamat menggunakan tiga buah ‘backhoe’ untuk membersihkan sisa runtuhan serta lumpur,” katanya.

Mangsa Vijaya A/P Kuppuswami, 59 tahun, telah dijumpai pada jam 5.14 petang tadi dan diserahkan kepada polis.

Manakala dua lagi dewasa terselamat dari kejadian itu dan hanya mengalami luka-luka ringan. -MalaysiaGazette