Seramai 173,000 remaja berusia 12 hingga 17 tahun di Pahang akan mula menerima suntikan vaksin Covid-19 bermula 20 September ini.- Gambar hiasan.

KUANTAN – Seramai 173,000 remaja berusia 12 hingga 17 tahun di Pahang akan mula menerima suntikan vaksin Covid-19 bermula 20 September ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sasaran penerima diberikan keutamaan kepada golongan remaja yang merupakan pelajar sekolah.

“Sukacita saya umumkan, kira-kira 173,000 remaja berusia 12 hingga 17 tahun di Pahang, akan mula menerima suntikan dos pada 20 September ini.

“Keutamaan ialah kepada remaja berusia 16 hingga 17 tahun, serta yang berusia 12 hingga 15 tahun yang bermasalah kesihatan,” katanya menerusi kenyataan media melalui Pejabat Menteri Besar Pahang hari ini.

Turut menjadi keutamaan ialah remaja Orang Kelainan Upaya (OKU) dari institusi-institusi pemulihan dan perlindungan serta remaja golongan rentan termasuk gelandangan.

Selain daripada remaja dalam kalangan pelajar dari sekolah-sekolah menengah kelolaan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP), pelajar sekolah menengah agama negeri kelolaan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan institusi-institusi pendidikan kelolaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) turut terlibat.

“Kesemua mereka akan menerima suntikan masing-masing di Pusat-pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang ditetapkan, di bawah penyelarasan Pejabat-pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Pejabat-pejabat Kesihatan Daerah (PKD).

“Sepertimana disyaratkan, remaja-remaja ini perlu mengisi borang kebenaran ibu bapa atau penjaga, sebelum dibenarkan menerima suntikan.

Wan Rosdy berharap remaja terpilih dapat memberikan kerjasama sebaik-baiknya demi mewujudkan imuniti kelompok dalam kalangan kita, yang boleh membantu menangani penularan wabak Covid-19. -MalaysiaGazette