Datuk Seri Ahmad Maslan
PETALING JAYA – Bersatu dilaporkan tidak menyokong Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat kerana sokongan terhadap beliau bertentangan dengan prinsip parti untuk tidak bekerjasama dengan mereka yang ada kes mahkamah.
Sinchew Daily melaporkan, walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah menyerahkan nama Ahmad untuk dicadangkan sebagai Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, tetapi cadangan itu boleh ditarik balik.
Dalam pada itu, sebanyak 31 wakil rakyat Bersatu telah menerima “arahan” daripada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk tidak memberi sokongan kepada Ahmad.
“Ya, Bersatu tidak akan menyokong Ahmad sebagai Timbalan Speaker, kerana beliau ada kes mahkamah.
“Sebelum melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri, Muhyiddin telah menyatakan untuk tidak bekerjasama dengan kleptokrat.
“Kami berpendapat bahawa Perdana Menteri akan menukar nama Ahmad, tetapi kami setakat ini tidak tahu siapa yang akan menggantikannya,” kata sumber kepada Sinchew Daily.
Sebelum ini, Ahmad yang juga merupakan Setiausaha Agung UMNO dilaporkan akan berebut jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat dengan Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming daripada DAP.
Memandangkan Pakatan Harapan menamakan Kor Ming sebagai calon tunggal mereka, kerajaan justeru bimbang kedudukan Perdana Menteri akan dipertikaikan sekiranya calon mereka terkandas jika ada apa-apa berlaku ke atas pencalonan Ahmad.
Keadaan itu dilaporkan mungkin mendorong Ismail Sabri untuk mempertimbangkan calon lain untuk jawatan Timbalan Speaker. – MalaysiaGazette