Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen Selayang hari ini menjatuhkan hukuman penjara empat tahun terhadap dua beranak yang didapati bersalah atas enam pertuduhan menerima wang lebih RM700,000 hasil aktiviti haram.

Hakim Syafeera Mohd Said menjatuhkan hukuman itu ke atas Leong Yih Pak, 60, dan Leong Jun Yuan, 33, selepas mendapati pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

Yih Pak dan Jun Yuan, yang merupakan pengarah sebuah syarikat pemborong gas petroleum cecair (LPG) didakwa menerima wang berjumlah RM727,424.50 melalui akaun semasa milik syarikat mereka iaitu Perniagaan Soon Lee di sebuah bank di sini antara 15 Mei dan 21 Julai 2017.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahah Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram itu atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi.

Kedua-dua tertuduh dijatuhi hukuman penjara empat tahun bagi setiap pertuduhan.

Mereka turut berdepan enam pertuduhan gagal menyelenggara buku stok borong gas dengan tidak memasukkan butiran yang menunjukkan harga jualan, nama serta alamat pembeli dan enam pertuduhan menjual barang kawalan iaitu gas kepada syarikat yang tidak mempunyai kebenaran.

Yih Pak dan Jun Yuan didakwa melanggar Subperaturan 13(1) dan Subperaturan 9(2)(b) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 di premis perniagaan mereka di Taman Perindustrian Ehsan Jaya, Kepong dekat sini antara 1 Mei dan 9 Julai 2017 serta dihukum mengikut Subperaturan 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM1 juta atau kedua-duanya.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara setahun ke atas kedua-dua tertuduh bagi setiap pertuduhan dan mengarahkan mereka menjalani hukuman itu secara serentak bermula hari ini.

Terdahulu, peguam R.Nadarajan memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan berbentuk denda yang rendah atas alasan ini adalah kesalahan pertama anak guamnya dan mereka telah insaf serta berjanji tidak akan mengulangi kesilapan sama.

“Pandemik COVID-19 cukup memberi kesan kepada perniagaan mereka, perniagaan mereka terjejas teruk. Jika mahkamah mengenakan jumlah denda yang tinggi, dikhuatiri kedua-dua tertuduh tidak mampu membayar denda tersebut. Yih Pak juga menghidap penyakit darah tinggi dan kencing manis,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amin Azmi pula memohon mahkamah mengenakan hukuman penjara dan denda supaya dapat memberi pengajaran serta mesej kepada pemegang lesen Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk sentiasa menitikberatkan setiap peraturan yang ditetapkan.

“Bagi kes AMLA, tertuduh bukan sahaja telah gagal mematuhi peraturan malah mereka telah mengaut keuntungan yang besar,” katanya yang dibantu oleh Pegawai Pendakwa KPDNHEP Azmil Aspara dalam mengendalikan kes itu.

Mahkamah yang mengarahkan Yih Pak dan Jun Yuan menjalani hukuman secara serentak bermula hari ini turut membenarkan permohonan mereka untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

Seramai 21 saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan memberi keterangan sepanjang perbicaraan kes itu. – Bernama