Tiga dari empat warga Bangladesh dibawa polis ke mahkamah untuk menghadapi pertuduhan atas kesalahan menculik rakan senegaranya dan meminta wang tebusan di Kompleks Mahkamah Kajang, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 17 SEPTEMBER 2021.

KAJANG – Empat warga Bangladesh termasuk seorang wanita dan seorang lagi wanita tempatan berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup setelah didakwa di Mahkamah Majistret Kajang hari ini.

Mereka didakwa atas kesalahan menculik seorang lagi warga Bangladesh dan meminta wang tebusan pada kejadian Ogos lalu.

Kesemua mereka dibawa oleh menaiki dua van polis secara berasingan ke lokap mahkamah sebelum dibawa ke kandang tertuduh di mahkamah.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua lima tertuduh iaitu Md Raihan Hosen, 28, Josim, 32, Faridah Jeya Sly Ramesh, 27 Miah Soraf, 33 dan Nusrat Jahan Bipasha, 26.

Mengikut fakta pertuduhan, mereka secara mencapai niat bersama bagi mendapatkan wang tebusan sebanyak 1 juta Taka Bangladesh (anggaran RM50,000) dan telah menahan seorang lelaki warga Bangladesh iaitu Md Sohel Rana, 39, dengan cara melarikan secara salah.

Seorang wanita warga Bangladesh dan wanita tempatan dibawa polis ke mahkamah untuk menghadapi pertuduhan atas kesalahan menculik rakan senegaranya dan meminta wang tebusan di Kompleks Mahkamah Kajang, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 17 SEPTEMBER 2021.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada tarikh 27 Ogos lebih kurang pukul 8.30 malam bertempat di hadapan sebuah pasar mini 99 Speeedmart Jalan Damai Mewah Daerah Hulu Langat.

Tiga tertuduh lelaki Bangladesh itu dan wanita tempatan mengangguk kepala sebagai memahami pertuduhannya yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret, Syahrul Sazly Md Sain.

Bagaimanapun jurubahasa menterjemahkan pertuduhan dalam bahasa Inggeris kepada tertuduh kelima wanita Bangladesh iaitu Nusrat Jahan Bipasha kerana tidak memahami bahasa Melayu.

Empat warga Bangladesh dan seorang wanita tempatan dibawa polis ke mahkamah untuk menghadapi pertuduhan atas kesalahan menculik rakan senegaranya dan meminta wang tebusan di Kompleks Mahkamah Kajang, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 17 SEPTEMBER 2021.

Dengan pertuduhan itu mereka didakwa melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 3(1) Akta Culik 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mati atau dipenjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati, boleh dikenakan sebatan.

Md Raihan dan Josem diwakili peguambela Tan Cheng Yee manakala tiga tertuduh yang lain tidak diwakili peguam sementara kes pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya Nurul Husnah Amran.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki Bangladesh diculik rakan senegara berjaya diselamatkan 

Siasatan kes telah dijalankan oleh pegawai penyiasat Inspektor Suresh Krishnan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang.

Mahkamah kemudian menetapkan 7 Oktober ini sebagai tarikh serahan dokumen dan sebutan semula kes.

Seorang wanita warga Bangladesh dan wanita tempatan dibawa polis ke mahkamah untuk menghadapi pertuduhan atas kesalahan menculik rakan senegaranya dan meminta wang tebusan di Kompleks Mahkamah Kajang, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 17 SEPTEMBER 2021.

Terdahulu MalaysiaGazette pada 3 September lalu melaporkan seorang lelaki warga Bangladesh yang diculik oleh rakan senegaranya berjaya diselamatkan polis di sebuah bilik di tingkat atas rumah dalam tempoh 24 jam selepas kehilangannya dilaporkan.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan menerusi kenyataan media berkata, pihaknya telah menerima laporan daripada seorang lelaki Bangladesh menyatakan pekerjanya telah hilang sejak 27 Ogos 2021 dan dipercayai telah diculik.

Pengadu mendakwa mengetahui perkara itu melalui isteri mangsa yang berada di Bangladesh.

Menurut beliau, mangsa berusia 39 tahun telah dilarikan oleh dua lelaki Bangladesh ketika berada di kawasan Jelok Ria dan telah menghubungi isteri mangsa yang berada di Bangladesh untuk memasukkan wang tunai 1 juta Taka ke akaun bank Bangladesh.-MalaysiaGazette